Aktiviti-aktiviti sekolah dinaikkan ke tahap kedua

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Dengan mengambil kira situasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang pada masa ini adalah dalam keadaan yang terkawal, maka pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan telah memaklumkan mengenai tambahan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial yang akan bermula pada 18 Jun ini.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menjelaskan, antara pengurangan langkah-langkah tersebut ialah aktiviti-aktiviti sekolah, institusi pendidikan vokasional, teknikal dan tinggi serta sekolah tuisyen dan sekolah muzik akan dinaikkan daripada tahap pertama ke tahap kedua.

Sekolah tuisyen dan sekolah muzik dibenarkan beroperasi dalam kelas kecil iaitu kurang daripada lima orang penuntut pada satu-satu masa. Yang Berhormat Dato mengumumkan perkara berkenaan pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menekankan, garis panduan penjarakan sosial yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan hendaklah dipatuhi dan sesiapa yang mempunyai tanda-tanda jangkitan hendaklah melakukan tanggungjawab sosial masing-masing dengan tidak menghadirkan diri di tempat-tempat tersebut.

“Kementerian Kesihatan juga mengingatkan orang ramai bahawa sesiapa yang didapati melanggar atau ingkar akan mana-mana arahan yang telah dikeluarkan maka ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204) yang mana jika didapati bersalah boleh membawa denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali,” tekan Yang Berhormat Dato yang kemudiannya menambah bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa yang tidak mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan.

Sementara itu, menurutnya, Kementerian Kesihatan juga akan terus memantau situasi wabak jangkitan COVID-19 di dalam negara serta di peringkat serantau dan global, dan melaksanakan penilaian risiko secara berterusan bagi mempertimbangkan langkah-langkah pengurangan seterusnya.