Aktiviti beli-belah dalam talian melonjak

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Aktiviti membeli-belah dalam talian melonjak semasa bulan puasa, terutama pada waktu awal pagi untuk sahur.

Lonjakan ini direkodkan oleh iPrice Group, platform aggregator bagi beratus-ratus peniaga dalam talian di Indonesia dan Malaysia, yang mencatatkan pertumbuhan dua digit dalam sesi dalam talian.

Analisis daripada platform itu menunjukkan bahawa trafik dalam talian pada 5 pagi meningkat sebanyak 105 peratus di Malaysia dan 345 peratus di Indonesia, berbanding dengan tempoh yang sama sebelum ini.

“Peningkatan ini lebih tinggi di Indonesia kerana negara berkenaan mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia.

“Di Malaysia, peningkatan trafik dalam talian adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan kajian kami pada tahun lepas, di mana kami hanya menyaksikan kenaikan trafik sebanyak 90 peratus dalam talian pada 5 pagi, menunjukkan pertambahan minat ke atas produk-produk dalam talian pada tahun ini berbanding 2017,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut iPrice, trafik dalam talian di kedua-dua negara menyaksikan penyu-sutan pada 7 petang di Malaysia dan 6 petang di Indonesia kerana mereka sedang bersedia untuk berbuka puasa tetapi selepas solat Tarawih, trafik dalam talian di kedua-dua negara akan naik semula, mencecah paras tertinggi pada 10 malam.

Produk-produk fesyen menjadi barangan yang paling popular pada bulan Ramadan kerana berjuta-juta rakyat Malaysia dan Indonesia sedang membuat persediaan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri, dengan Naelofar Hijab, Fashion Valet dan pakaian Muslimah menjadi tiga produk fesyen paling popular dalam carian jenama e-dagang di Malaysia. – Bernama