Aktiviti berjaja ditiadakan di Program Bandarku Ceria akan datang

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Aktiviti berjaja semasa Program Bandarku Ceria akan ditiadakan bermula 14 Jun ini sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, di sini, hari ini, menyatakan bahawa ke arah mempertingkatkan lagi langkah-langkah membendung penularan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam dan demi kesejahteraan serta keselamatan orang awam, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri memaklumkan kepada orang ramai bahawa hasil daripada pemerhatian ke atas pembukaan semula Program Bandarku Ceria pada 7 Jun lalu serta berpandukan kepada nasihat Kementerian Kesihatan, maka bermula pada 14 Jun 2020, pengisian Program Bandarku Ceria adalah terhad kepada aktiviti riadah yang dilakukan secara individu sahaja.

Menurut kenyataan itu lagi, aktiviti berjaja adalah ditiadakan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Pemantauan berterusan ke atas Program Bandarku Ceria akan dibuat dan kementerian memohon kerjasama orang ramai khususnya para pengunjung program itu supaya dapat mematuhi arahan-arahan dan nasihat-nasihat yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Aktiviti berjaja yang diadakan pada minggu lalu. Pada minggu ini dan akan datang, ia ditiadakan sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. – Gambar oleh Bahyiah Bakir