Aktiviti buat kuih isi masa bersama anak-anak

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Sempena cuti persekolahan dan Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Majlis Belia Brunei (MBB) telah mengadakan Bengkel Meluangkan Masa Bersama Ibu Bapa dan Anak-anak iaitu tunjuk cara membuat kuih Rice Krispie Treat, kelmarin.

Sebagai salah satu aktiviti untuk mengisi masa lapang kanak-kanak, bengkel berkenaan telah disertai oleh lebih kurang 80 orang yang terdiri daripada penuntut-penuntut sekolah, ibu bapa, guru-guru dan orang ramai secara maya melalui applikasi Zoom dan disiarkan secara langsung melalui saluran Youtube MBB.

Sesi bengkel atau tunjuk cara membuat kuih tersebut dikendalikan oleh Pegawai Kaunselor, Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam, Pengiran Hajah Fatriah binti Pengiran Haji Bujang selaku fasilitator bengkel dengan ditemani oleh anak beliau.

Bengkel dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Yang Di-Pertua MBB, Yang Berhormat Khairunnisa binti Haji Ash’ari.

Aktiviti tersebut turut disertai oleh tiga peserta daripada kalangan ibu bapa bersama pasangan anak mereka yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif SMARTER Brunei Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah@Didi; Ketua Jabatan Lukisan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Dayang Siti Nur Hazwani binti Haji Abdul Wahab dan Pegawai Pendidikan Jabatan Psikologi, Pusat Tingkatan Enam Meragang, Dayang Nur Hafizah Azmin.

Antara yang menghadiri bengkel tersebut yang diadakan secara maya. – Gambar serahan KKBS