Aktiviti gotong-royong bersihkan tanah perkuburan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Dalam sama-sama menjaga kebersihan tanah perkuburan Islam, lebih 30 orang penduduk Kampung Serasa telah mengadakan kempen membersihkan Tanah Perkuburan Islam di Bukit Kampung Serasa.

Kerja-kerja membersihkan tanah perkuburan berkenaan termasuk menebang pokok-pokok kayu yang tidak selamat dan sudah tua yang boleh membahayakan orang lain.

Kempen merupakan inisiatif ahli Jawatan Kuasa (AJK) Perintis Bukit Tempayan Pisang Serasa, di bawah Majlis Perundingan Kampung Serasa dan Kampung Perpindahan Serasa.

Turut serta dalam kempen tersebut ialah Yang Dimuliakan Pehin Datu Panglima Kolonel (B) Dato Paduka Haji Abdul Jalil bin Haji Ahmad.

Pengerusi AJK berkenaan, Haji Othman bin Haji Abd Rahmah berkata, kempen tersebut juga mendapat sumbangan daripada beberapa orang penduduk Kampung Serasa dan Perpindahan Serasa untuk memperbaiki pondok dan pagar perkuburan yang rosak.

Beliau berkata, kempen berkenaan akan diteruskan lagi pada masa akan datang bagi memastikan tanah perkuburan Islam di kampung berkenaan dalam keadaan terjaga, bersih dan selamat.

Lebih 30 orang penduduk Kampung Serasa telah mengadakan kempen membersihkan Tanah Perkuburan Islam di Bukit Kampung Serasa.