Aktiviti ibadah korban dibenarkan

PUTRAJAYA, 24 JUN – Aktiviti ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada hujung Julai ini dibenarkan di Wilayah Persekutuan dengan prosedur standard operasi (SOP) yang ketat, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, aktiviti ibadah korban itu boleh diadakan di semua masjid, surau serta kawasan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan, dan perlu mengikut panduan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Jelasnya, kapasiti kehadiran petugas dihadkan kepada maksimum 30 orang pada satu-satu masa bagi menguruskan seekor lembu.

“Selain daripada masjid, surau serta kawasan yang mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Agama Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), 28 rumah sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta 31 rumah penyembelihan swasta yang dilesenkan oleh DVS, turut dibenarkan.

“Penganjur perlu melaporkan aktiviti ibadah korban kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihak penganjur perlu memastikan bilangan haiwan korban adalah bersesuaian de-ngan keupayaan petugas.

Katanya, proses melapah, memotong dan pembahagian daging hendaklah dibuat di tempat yang lapang selain mengelakkan 3S iaitu kawasan yang sesak, sempit dan berkomunikasi secara dekat. Bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19, beliau berkata antara SOP yang perlu dipatuhi adalah

kaunter pintu masuk perlu disediakan bagi memeriksa suhu badan serta sanitasi tangan.

“Kehadiran jemaah petugas perlu direkodkan dan mereka yang tidak sihat bukan dalam kalangan penghidap penyakit kronik tidak dibenarkan menyertai aktiviti itu.

“Kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk. Petugas perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial 1 meter,” katanya.

Ismail Sabri berkata proses sembelihan digalakkan untuk menggunakan peralatan dan sistem moden dalam sembelihan seperti sangkar sembelihan. – Bernama