Aktiviti keagamaan mohon perlindungan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Sebagai salah satu ikhtiar agar terhindar daripada wabak COVID-19 di negara ini, kumpulan belia dan beliawanis Masjid Kampung Danau, Tutong telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Doa Memohon Terhindar daripada COVID-19 serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam, yang dilangsungkan secara maya.

Turut serta selaku tetamu khas pada majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Amir Hisham bin Haji Masri. Majlis tersebut diadakan adalah untuk mengeratkan silaturahim serta mendidik belia mendekati dengan aktiviti masjid di samping menyerapkan nilai-nilai murni dan menghindarkan diri belia dari bahayanya isu gejala sosial.

Majlis turut diserikan dengan tazkirah bertajuk Belia Cintai Rasulullah yang disampaikan oleh belia Masjid Kampung Danau, Daerah Tutong, Awang Muhammad Didi Sufian bin Haji Masri.

Majlis diakhiri dengan kata alu-aluan daripada tetamu khas dan sesi bergambar ramai.

Tetamu khas acara semasa menyertai Majlis Membaca Surah Yasin dan Doa Memohon Terhindar daripada COVID-19 serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam, yang dilangsungkan secara maya.- Gambar serahan Kementerian Hal Ehwal Ugama