Oleh Syahmi Hassan & Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Bulan Ramadan yang sudah memasuki minggu kedua terus disemarakkan dengan majlis-majlis tadarus yang diadakan oleh pelbagai pihak di negara ini termasuk kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan yang mengadakannya di masjid-masjid di seluruh negara.
Pada hari ini, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah meneruskan Majlis Bertadarus sempena bulan Ramadan di Masjid Kampung Belimbing, Subok. Majlis yang dikelolakan bersama oleh Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat dan Pejabat Peguam Negara itu dihadiri oleh Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku tetamu kehormat majlis.
Turut hadir ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa; pegawai-pegawai serta kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan wakaf berupa dua dispersion speaker dan sebuah komputer riba yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM kepada Imam Masjid Kampung Belimbing, Pengiran Mohammad Akhbar @ Pengiran Mohammad Idrus bin Pengiran Haji Mohd Sabri.
Kementerian Kesihatan pula telah mengadakan Majlis Bertadarus Al-Quran dan penyampaian derma kepada anak-anak yatim di Surau Nuurul ‘Inayah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Majlis diselajurkan dengan penyampaian derma kepada 16 orang wakil bagi 24 orang anak yatim terdiri daripada warga Hospital RIPAS.
Hospital RIPAS merupakan hospital kedua yang dikunjungi oleh rombongan Kementerian Kesihatan dengan diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham.
Sementara itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta jabatan-jabatan di bawahnya pula telah mengadakan Majlis Bertadarus Al-Quran di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Sungai Akar.
Hadir mengetuai rombongan berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin. Majlis diteruskan dengan penyerahan wakaf yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.