Aktiviti keagamaan sempena Minggu Ta’aruf

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Sebagai salah satu aktiviti Minggu Ta’aruf bagi pelajar-pelajar baharu (peringkat menengah) sesi 2019, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) telah mengadakan majlis bacaan 30 juzuk Al-Quran dan tahlil di Kubah Makam Diraja, hari ini.

Majlis bagi Al–Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit itu dihadiri oleh semua warga institut yang terdiri daripada pegawai dan tenaga pengajar lelaki serta para pelajar (lelaki) dengan diketuai oleh Pemangku Pengetua ITQSHHB, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit.

Bagi memulakan majlis, bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pengiran Haji Amiruddin, seterusnya bacaan 30 juzuk Al-Quran dan Doa Tahlil juga dibacakan oleh pemangku pengetua.

Majlis berkenaan diharap dapat membantu para pelajar baharu untuk menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran dan kehidupan di ITQSHHB iaitu sentiasa berdamping dengan kitab suci Al-Quran selain mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama dalam kalangan warga ITQSHHB.

Esok, ITQSHHB secara rasminya akan menerima kemasukan seramai 60 orang pelajar baharu iaitu 21 orang pelajar lelaki dan 39 orang pelajar perempuan.

Manakala pengajian secara formal bagi para pelajar baharu tersebut akan bermula pada 14 Januari ini.

Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah ketika mengadakan majlis bacaan 30 juzuk Al-Quran dan tahlil di Kubah Makam Diraja, kelmarin4