Aktiviti khidmat masyarakat bentuk belia proaktif

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Sempena Minggu Ta’aruf 2020, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Unit Kebajikan dan Kemasyarakatan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah mengendalikan beberapa aktiviti khidmat masyarakat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, aktiviti yang disertai oleh lebih 300 orang pelajar dan dikendalikan oleh 63 orang komiti UNISSA itu berlangsung di Daerah Belait, Tutong dan Brunei dan Muara.

Kawasan yang terlibat ialah Pantai Kuala Belait, Pantai Seri Kenangan Tutong, Kolej Kediaman UNISSA, Pantai Meragang, Ameen Farm Kampung Kilanas, Pantai Muara, Pantai Serasa, Tanah Perkuburan Islam Ranggas dan Tanah Perkuburan Islam Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.

Di setiap lokasi dan sepanjang aktiviti dijalankan, para pelajar dipastikan untuk mengikuti langkah-langkah keselamatan dengan mengekalkan tahap kebersihan individu yang tinggi dan mengamalkan penjarakan sosial seperti mana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam dan tempoh aktiviti dihadkan selama dua jam sahaja.

Selain daripada aktiviti kempen kebersihan, semua pelajar juga berkesempatan untuk mengadakan majlis tahlil dan arwah di tanah perkuburan yang terlibat. Aktiviti tersebut dimulakan dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Pelindungan daripada Wabak COVID-19.

Kenyataan menjelaskan, aktiviti khidmat masyarakat tersebut dihasratkan dapat memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar baharu sesi akademik 2020/2021 mengenai peranan belia untuk berkhidmat dan menyumbang bakti kepada masyarakat.

Pelajar-pelajar baharu sesi akademik 2020/2021 mengadakan aktiviti khidmat masyarakat seperti membersihkan pantai dan tanah perkuburan. – Gambar serahan UNISSA