Tuesday, October 4, 2022
27.6 C
Brunei

Aktiviti lasak umpama ulam baginya

-

Oleh Yusrin Junaidi

Aktiviti sukan dan riadah seperti mendaki bukit dan larian semakin popular dalam kalangan rakyat dan penduduk negara ini sebagai salah satu cara untuk mengamalkan gaya hidup aktif yang sihat.

Bagaimanapun, sesetengah orang beranggapan aktiviti-aktiviti itu hanya dilakukan oleh golongan muda kerana dikatakan berisiko dilakukan oleh golongan warga emas kerana ia memerlukan stamina, fizikal dan mental yang tinggi.

Namun berbeza dengan Kapten (B) Haji Osman bin Lahab, 83, salah seorang ahli Persatuan Atlet Veteran Brunei mengatakan beliau sebaliknya berasa tidak segar jika tidak melakukan aktiviti lasak itu. Justeru setiap hari seawal 7 pagi beliau sudah siap sedia untuk berlari atau mendaki bersama rakan-rakannya mahupun seorang diri ketika ditemui penulis di kediamannya di Kampung Keriam, Daerah Tutong.

“Biasanya larian dalam lingkungan 10km atau lebih iaitu mengambil masa satu atau dua jam begitu juga mendaki bukit dengan trek dalam hutan yang agak mencabar,” kongsi beliau mengenai jarak dan masa yang diambil ketika melakukan aktiviti.

Beliau baru-baru ini memenangi cabaran mendaki bukit di Bukit Silat, Kampung Katok dan berjaya menyandang tempat pertama bagi kategori veteran. Pada 7 Ogos lalu, beliau juga berjaya menamatkan larian 21km dalam acara larian Borneo Run yang diadakan di Kuala Belait.

Beliau turut menyimpan kasut-kasut yang pernah digunakan ketika menyertai acara-acara larian.
Kapten (B) Haji Osman menunjukkan piala pertama yang dimenangi beliau pada tahun 1981.
Kapten (B) Haji Osman semasa menyertai salah satu acara larian baru-baru ini.
Penganugerahan Indo-Dubai antara anugerah yang tidak akan beliau lupakan kerana ia merupakan salah satu penghargaan atas kerja keras beliau menjadi seorang atlet bebas di negara ini.
Dari dulu hingga sekarang menggunakan jam tangan yang sama untuk mengira masa larian.

Meskipun tidak berjaya menyandang tempat pertama, namun beliau merasa bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi diberikan kesempatan dan kesihatan dan mampu menamatkan larian berkenaan.

Kapten (B) Haji Osman pernah menerima Anugerah Antarabangsa Persahabatan Indo-Dubai pada tahun 2019 atas komitmen dan sumbangan beliau dalam sukan sebagai atlet veteran. Penganugerahan berkenaan adalah bersempena Persidangan Antarabangsa Samata Sahitya Indo-Dubai 2019 yang berlangsung di Dubai.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan persatuan berkenaan, anugerah tersebut telah disampaikan oleh Dr Ranjan Piyasiri Dantanarayana pada majlis yang berlangsung di Al Khoory Executive Hotel, Dubai. Beliau berkata, penganugerahan Indo-Dubai antara anugerah yang tidak akan beliau lupakan kerana ia merupakan salah satu penghargaan atas kerja keras beliau menjadi seorang atlet bebas di negara ini.

Sentiasa berhati-hati semasa bersukan
Ketika ditanya mengenai aktiviti lasak, beliau menyatakan apa yang penting adalah sentiasa berhati-hati dalam melakukan sebarang aktiviti tambahan pula umur sudah semakin tua.

“Kita perlu memastikan tahap kesihatan dalam keadaan baik sebelum memulakan larian atau mendaki bukit dan perlu membuatnya secara perlahan-lahan. Jika tidak mampu, berhenti seketika sambil nikmati kesegaran udara dalam hutan, dan apabila kembali segar sikit, barulah sambung larian atau mendaki balik,” katanya.

Beliau berkongsi aktiviti larian dan mendaki bukit ini bukanlah sesuatu yang baharu diceburi malah ia dilakukan oleh beliau sejak masih berkhidmat dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bagi mengekalkan kesihatan tubuh badan.

“Saya berlari hampir setiap hari atau sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Begitu juga mendaki bukit sampai ke puncak dan turun semula dalam sejam dua pun badan sudah rasa bagus. Selepas mendaki bukit barulah saya melakukan kerja lain,” kongsinya sambil menyatakan beliau semakin aktif melakukan aktiviti bersukan sejak bersara.

Tambahnya, mendaki adalah latihan terbaik yang banyak memberi kelebihan kepada tubuh antaranya menguatkan otot kaki serta sangat bagus untuk jantung.

“Tidak perlu takut panas, kerana panas matahari adalah sebaik-baik vitamin yang diperlukan untuk badan kita. Jadinya, jangan memberi alasan panas apabila hendak bersukan,” ujar belia.

Umur bukan halangan
Menyentuh mengenai umur, beliau menyatakan apabila semakin berusia tidak dinafikan lutut akan cepat terasa sakit, akan tetapi dengan kerap melakukan aktiviti boleh menyihatkan tubuh badan secara konsisten dan dapat mengelakkan masalah itu serta penyakit pun tidak mudah ‘rakat’ jelas beliau.

Beliau percaya usia bukan penghalang besar bagi dirinya dan nekad meneruskan aktiviti berkenaan selagi keadaan kesihatannya mengizinkan.

Mendengar mengenai dengan pengumuman pembukaan semula sempadan, perkara pertama yang difikirkan beliau ialah menyertai acara larian di Korea yang akan diadakan pada tahun hadapan.

Sebelum menamatkan perbualan, penulis juga berkesempatan menanyakan tentang tatacara pemakanan beliau, di mana beliau tidak begitu memilih dalam soal pemakanan, dan hanya mengurangkan memakan makanan berminyak kerana menurut beliau itu punca dari segala jenis penyakit.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

PBB: 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan

ISLAMABAD, 3 OKT – Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kira-kira 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan serius dalam masa...
- Advertisment -