Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Aktiviti luncur air makin popular di Cuba

    HAVANA – Apabila mereka masih kecil, peluncur air Cuba selalunya mengubah meja sekolah mereka menjadi papan untuk meluncur ombak.

    Kini mereka mempunyai peralatan sebenar. Dan sejak aktiviti luncur telah menjadi sukan Olimpik, ia semakin diterima di kalangan pihak berkuasa di negara Komunis di mana ahli-ahlinya sering berdepan gangguan polis.

    Dalam komuniti nelayan Santa Fe ke barat Havana. Ayax Borrero, 34, mengepit papan luncurnya ketika dia dan dua kawannya berjalan-jalan menerusi jalan yang memisahkan rumahnya dengan laut.

    Cuaca pada hari itu mendung dan ombak menghempas pantai.

    “Pada keseluruhannya, kami bergantung pada keadaan cuaca seperti musim sejuk, hurikan – yang mencetuskan ombak di sini – maka itulah sebabnya kenapa musim bermula pada musim sejuk dari November hingga April,” kata Borrero, seorang arkitek.

    Taman permainan mereka merupakan tapak runtuhan kolam lama yang didakwa pernah menjadi milik borjuis bernama Antolin sebelum revolusi 1959 yang membawa Fidel Castro menjadi pemimpin.

    Ayax Borrero meluncur ombak di pantai Havana. – AFP
    Peluncur Alejandro Pino terjatuh semasa meluncur di pantai Havana. – AFP
    Frank Gonzales membaiki papan luncur di rumahnya di Havana. – AFP

    Kawasan itu kini berfungsi sebagai tanjung tinggi di mana peluncur boleh meluncur dalam air.

    Aktiviti luncur mengimbau kenangan masa remaja Borrero, walaupun pada masa itu papan amat sukar dicari.

    “Saya bermula awal, kira-kira tujuh atau lapan tahun, dengan meja sekolah kayu. Itulah yang kami gunakan pada masa itu.

    “Meja betul-betul berat,” ujarnya sambil ketawa.

    Dia menyedari ia adalah titik permulaan yang baik kerana ‘selepas itu, apabila bapa saya membelikan saya papan pertama pada usia 11 tahun, saya berupaya berdiri tanpa bantuan.’

    Ada satu ketika apabila peluncur juga mengeluarkan dulang polistirena di belakang peti sejuk untuk dijadikan papan luncur.

    Di Cuba, sebuah negara di mana kebanyakan orang kekurangan produk asas, amalan berkenaan dikenali sebagai ‘ciptaan’ – seni mencari penyelesaian kepada setiap masalah.

    “Agak sukar untuk meluncur di sini,” kata Yasel Fernandez, 29.

    Dilahirkan dalam keluarga nelayan, dia mula meluncur pada usia 13 tahun tetapi hanya ‘memiliki papan saya sendiri pada umur 29 tahun dan ia merupakan impian saya, memiliki papan saya sendiri dan meluncur.’

    Memiliki papan mereka sendiri bukan satu-satunya kesukaran untuk peluncur, yang telah menimbulkan kesangsian polis dalam negara di mana laut juga dilihat sebagai jalan melepaskan diri ke Florida.

    Pada Mac, pihak berkuasa AS menyelamatkan seorang warga Cuba yang mengadakan perjalanan sejauh 370 kilometer dengan papan luncur angin.

    Penduduk Cuba telah datang berduyun-duyun untuk berhijrah ke Amerika Syarikat ketika Cuba mengalami krisis paling teruk dalam hampir 30 tahun, sebahagiannya disebabkan pandemik koronavirus.

    Namun ‘dengan meluncur, awda menjadi makanan ikan yu,’ seloroh Frank Gonzales, 35, satu-satunya peluncur yang membaiki papan di pulau itu.

    Walaupun begitu, dia sentiasa tidak mempunyai pilihan.

    “Geram rasanya apabila meluncur, mengambil bahagian dalam sukan di tempat khas dengan ombak terbaik, tiba-tiba polis datang dan menyuruh awda supaya meninggalkan tempat itu,” kata Gonzales, yang telah mengajar anak perempuannya yang berusia enam tahun bagaimana meluncur.

    “Saya berharap pada masa depan polis akan menghormati peluncur sebagai orang sukan.”

    Sesetengah peluncur berkata papan mereka dirampas, manakala yang lainnya supaya berenang dari polis.

    Namun keadaan mulai menjadi lebih baik.

    Aktiviti luncur telah memasuki Olimpik di Sukan Tokyo pada 2021, dan kini pihak berkuasa Cuba telah mengiktirafnya sebagai sejenis sukan.

    “Apa yang berlaku adalah sukan ini sedang diamalkan tetapi ia tidak diberi perhatian oleh Institut Sukan Cuba (INDER), kata Eric Gutierrez, ketua badan.

    “Sekarang INDER sedang mengambil langkah untuk memberikan tumpuan, memberikan pengiktirafan dan membangunkan aktiviti luncur.”

    Beliau menegaskan polis tidak menghalang orang ramai daripada meluncur tetapi ‘mereka menjaga keselamatan mereka.’

    “Pernah sekali saya masih ingat anggota bomba tiba untuk menyelamatkan kami. Seseorang telah menghubungi mereka,” ujar Yaliagni ‘Yaya’ Guerrero, 39, salah seorang peluncur wanita pertama Cuba.

    Dia telah bekerja bersama Gonzales dengan INDER sejak tahun 2019 untuk berusaha mengubah ‘kekurangan budaya atau kejahilan’ tentang kegiatan luncur.

    Pada Disember, seorang pegawai INDER menyaksikan buat pertama kalinya satu pertandingan di antara kelab luncur di Havana, yang dimenangi Gonzales.

    Pegawai berkenaan adalah Gutierrez, yang menyifatkan aktiviti luncur sebagai ‘sukan yang hebat.’

    Sejak tahun lalu, INDER telah berhubung dengan Persatuan Luncur Antarabangsa dan mempunyai ranca-ngan untuk mengalu-alukan satu rombongan dari badan global pada bulan-bulan akan datang.

    Kami ingin membentangkan projek kerja yang akan menyokong kami dari segi arahan, peralatan, elemen luncur khusus seperti pertolongan cemas dan pengadilan,” kata Gutierrez. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...