Aktiviti menarik sempena musim cuti persekolahan

Oleh Nurdiyanah R.

Apabila tiba musim cuti persekolahan, rasa keseronokan dan kegembiraan tidak dapat dinafikan lagi terutama dalam kalangan anak-anak atau setiap pelajar sekolah. Ia bagaikan saat-saat yang dinanti-nantikan oleh mereka untuk melakukan aktiviti yang digemari sambil meluangkan masa bersama-sama dengan ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.

Seperti lazimnya, di Negara Brunei Darussalam turut terdapat banyak tempat-tempat yang menarik yang sememangnya sesuai dijadikan sebagai destinasi percutian bahkan aktiviti keusahawanan sampingan buat seisi keluarga bahkan lebih-lebih lagi sepanjang bulan Disember ini.

Kemeriahan karnival

Lampu berwarna-warni yang menghiasi suasana lorong masuk Taman Permainan Jerudong terlihat begitu menakjubkan sepanjang enam hari berlangsungnya Karnival Jerudong Park Mega Fun Family bersempena Festival Disember Brunei, baru-baru ini.

Acara anjuran Jerudong Park Country Club Sdn Bhd (JPCC) ini telah menarik ribuan pengunjung sama ada di dalam mahu pun di luar negara. Pelbagai aktiviti menarik diketengahkan untuk kunjungan orang ramai di negara ini begitu jelas dilihat kemeriahannya lebih-lebih lagi dengan adanya ganjaran hadiah segera antaranya barangan elektronik, telefon bimbit dan tablet, serta tiket penerbangan percuma.

Dalam pada itu, beberapa persembahan telah disusun sepanjang berlangsungnya karnival berkenaan antaranya adalah Movie Night, persembahan-persembahan hebat daripada kumpulan pemuzik tanah air seperti A Band Once, Kosmik dan Roket Kertas serta kehebatan persembahan ahli-ahli silap mata tempatan.

Lampu berwarna-warni yang menghiasi suasana lorong masuk Taman Permainan Jerudong terlihat begitu menakjubkan sepanjang enam hari berlangsungnya Karnival Jerudong Park Mega Fun Family bersempena Festival Disember Brunei, baru-baru ini. – Gambar dari JPCC

Awang Ahmad Rifaie yang berkunjung ke karnival berkenaan bersama isteri dan dua orang anak beliau turut merakamkan detik kegembiraan dan memanfaatkan musim cuti persekolahan.
Orang ramai begitu teruja mengikuti aktiviti-aktiviti menarik semasa berlangsungnya karnival berkenaan.

Dengan adanya karnival sebegini, ia dihasratkan dapat menggalakkan orang ramai untuk meluangkan masa sepanjang cuti hujung tahun penggal persekolahan di negara sendiri dan pada masa yang sama menyokong pengusaha-pengusaha tempatan yang menyertai acara tersebut.

Platform usahawan tempatan

Lebih 20 orang pengusaha tempatan yang turut menyerikan suasana karnival dengan menjual pelbagai makanan dan minuman serta barangan yang menarik. Antara vendor yang menyertai karnival tersebut ialah Jaddams.bn, Freezy Slushies, Perusahaan Selera Putu, Unicorn Bubble, Sheila Shoppee dan banyak lagi.

Dalam pada itu, keterujaan dan kegembiraan jelas terpancar pada wajah salah seorang pengusaha tempatan, Awang Muhammad Nadir bin Abd Hassan, bersama ahli keluarga tersayang, atas peluang keemasan ini dalam menjalankan perniagaan produk utama mereka berupa pelbagai minuman berais antaranya milo, teh tarik dan kopi latte.

Menurutnya, dengan adanya penglibatan sebegini, ia secara tidak langsung dapat menambahkan pendapatan sampingan beliau sekeluarga. Di samping itu, karnival sebegini sememangnya merupakan salah satu platform yang sangat sesuai untuk mempromosi sesuatu produk khususnya kepada masyarakat tempatan.

“Dalam meniti dunia perniagaan ini, pasang surut adalah sesuatu yang lumrah dialami oleh setiap peniaga. Apa yang penting kesabaran mestilah sentiasa disemai dalam jiwa dan hati demi memperolehi rezeki yang halal lagi penuh keberkatan,” nasihat beliau yang menjalankan perniagaan ini di bawah syarikat Freezy Slushies sejak beberapa tahun lalu.

Menerapkan aktiviti sihat

Manakala, semasa ditemui Awang Ahmad Rifaie bin Haji Shawal yang berkunjung ke karnival berkenaan bersama isteri dan dua orang anak beliau turut merakamkan detik kegembiraan kerana inilah masa yang amat sesuai untuk mengukuhkan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan anggota keluarga selain menambah kemeriahan pada musim cuti persekolahan ini dengan aktiviti-aktiviti sihat di negara sendiri.

“Adalah menjadi peranan besar bagi para ibu bapa atau penjaga untuk menjalankan tanggungjawab dengan bijak dalam mengisi atau menggalakkan masa lapang anak-anak ketika musim cuti persekolahan dengan pelbagai perkara yang bermanfaat. Hal ini amat penting untuk dititikberatkan agar pengetahuan dan kemahiran mereka semakin meningkat secara progresif dari segi mental dan fizikal sehingga meliputi jasmani dan juga rohani,” ucapnya semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis, baru-baru ini.