Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Pusat Sejarah Brunei (PSB) melalui Bahagian Penerbitan dan Pemasaran buat julung-julung kalinya mengadakan aktiviti Tayangan Video dan Kuiz Cerita Bergambar Sejarah Brunei bagi memeriahkan Pesta Buku Brunei 2022.
Aktiviti yang diadakan di Pentas Kegiatan, Stadium Tertutup Hassanal Bolkiah, petang tadi, adalah bertepatan dalam mendukung salah satu peranan PSB iaitu memasyarakatkan sejarah bangsa dan negara kepada semua peringkat lapisan masyarakat di negara ini melalui pelbagai program dan kegiatan sejarah.
Melalui aktiviti berkenaan, para peserta berpeluang untuk memenangi hadiah dengan mengikuti Kuiz Cerita Bergambar Sejarah Brunei.
Soalan-soalan kuiz adalah berdasarkan dua video cerita bergambar sejarah Brunei yang ditayangkan iaitu Sultan Sharif Ali dan Legenda Jong Batu.
Selain untuk memperkenal, mendedah dan memasyarakatkan buku cerita bergambar sejarah Brunei kepada khalayak, aktiviti berkenaan juga dihasratkan dapat meningkatkan tahap pembacaan dan penghayatan kanak-kanak mengenai sejarah tanah air terutama peristiwa-peristiwa sejarah yang mengandungi nilai-nilai murni seterusnya, menjadi panduan dalam membangun negara dan bangsa pada masa akan datang.
Objektif aktiviti berkenaan adalah bagi mendukung dan memeriahkan Pesta Buku Brunei 2022 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dari segi pengisian aktiviti yang mengandungi ilmu pengetahuan dengan bersumberkan bahan-bahan bacaan di samping bagi menyebarluaskan peranan dan fungsi PSB sebagai institusi penerbitan.
Ia juga diadakan bagi memberigakan maklumat dan pengetahuan mengenai sesuatu peristiwa atau fakta sejarah negara dan bangsa, selanjutnya memupuk minat dan mendekatkan pengetahuan sejarah Brunei kepada orang ramai khususnya golongan belia dan kanak-kanak untuk sama-sama mengetahui dan mempelajari sejarah tanah air.
Dengan adanya aktiviti seumpama itu, ia turut memperkenalkan dan mempromosikan buku, jurnal dan majalah terbitan PSB dan menggalakkan orang ramai untuk membaca sejarah tanah air.