APABILA ada anak damit memang seronok melayan mereka dan kadangkala boleh leka tatkala melihat keletah si manja. Sebenarnya tanpa anda sedar, aktiviti melayan anak damit bermain boleh menjadi salah satu cara mudah untuk merangsang mereka menjadi lebih bijak.
Tidak perlu alat permainan yang mahal dan waktu yang lama untuk merangsang deria dan pelbagai kemampuan anak damit.
Anda boleh melakukannya ketika bermain, bersiar-siar, menidurkan anak damit, memandikannya, menyusu atau memberinya makan.
Selalu pandang mata dan wajah
Ketika bercakap dengan anak damit pastikan untuk memandang mata anak damit sambil menunjukkan pelbagai ekspresi wajah agar mereka sentiasa berasa seperti akan tetap terus diberi perhatian. Di samping itu, anda juga boleh selalu menyuruh anak damit untuk melihat dirinya sendiri di dalam cermin bagi meningkatkan tahap keyakinan mereka.
Ajak bercakap dan ketawa
Cuba untuk membuat bermacam bunyi suara lucu untuk membuatkan anak ketawa dan menyanyi lagu-lagu kanak-kanak yang dipercayai setentunya akan dapat menghiburkan mereka. Selain itu, anda juga boleh menggeletek bahagian badan anak damit supaya dia terus ketawa dan berasa seronok.

Rapatkan hubungan
Sewaktu para ibu menyusukan anak damit, tatap matanya sambil bercakap-cakap agar hubungan di antara ibu dan anak akan terbentuk menjadi semakin rapat.
Tutup televisyen atau telefon bimbit dan habiskan masa dengan melayan anak bermain serta memeluknya dengan sepuas hati.
Luangkan beberapa minit setiap hari hanya duduk di lantai dengan anak anda tanpa gangguan daripada sebarang mainan atau muzik dari televisyen ataupun telefon bimbit.
Aktiviti fizikal
Susun bantal atau kusyen di ruang tamu dan ajak anak damit lalu di kawasan tersebut. Buat aktiviti yang boleh diikuti oleh anak damit seperti anda merangkak di ruang tamu dan anak mengikut dari belakang (sesuai untuk anak yang sudah pandai merangkak).
Ikut kegemaran anak. Jika dia suka mendengar muzik dan menari maka pasanglah lagu dan menari bersamanya.
Bersiar-siar
Bawa anak damit untuk bersiar-siar di luar kawasan rumah seperti di taman dan biarkan dia menikmati pemandangan di sekeliling.
Di samping itu, bawa anak damit pergi ke restoran supaya dia boleh melihat orang lain menikmati makanan dan belajar banyak perkara dari situ.
Sentuh pelbagai objek dan tekstur
Beri anak damit untuk menyentuh pelbagai jenis tekstur kain seperti sutera, cotton, linen, wol dan pelbagai lagi. Gosok lembut di pipi, kaki dan perutnya sambil anda menerangkan mengenai jenis tekstur fabrik itu.
Apabila di luar rumah, biarkan tangan anak menyentuh dan memegang pelbagai objek di sekelilingnya seperti rumput, pokok, bunga, tanah tetapi memastikan keselamatannya.
Jangan marah apabila si kecil bermain dengan makanannya. Dia sedang belajar untuk mengetahui bentuk dan rasa makanan itu.
Ajar bahasa dan mengira
Selalu kira segala objek yang ada di sekelilingnya seperti ketika naik tangga atau menyusun biskut di mangkuknya.
Di samping itu, selalu bacakan buku setiap hari, anda akan kagum dengan perkembangan bahasanya kelak.
Rutin bermain
Cuba untuk meniup lembut di muka, lengan dan perut anak damit sebagai rutin permainan.
Uji minda mereka dengan menyembunyikan sebarang objek di tangan anda dan minta si comel mencarinya.
Main ‘ba ba chak’ sebenarnya adalah mainan terbaik kerana selain membuatkan anak damit ketawa, ia juga mengajarnya bahawa objek boleh menghilang dan ada kembali.
Membuat kenangan
Tunjukkan gambar ahli keluarga dalam satu album dan beritahu siapa individu tersebut berserta dengan namanya.
Ketika keluar bersiar-siar di taman atau membawa anak ke zoo, ambil gambar haiwan-haiwan dan anda boleh kumpulkan dalam satu album dalam telefon bimbit anda.
Kemudian ajak anak melihatnya semula sambil mengajar nama serta bunyi haiwan tersebut.
Aktiviti rutin yang selalu anda lakukan bersama anak damit sebenarnya adalah cara terbaik untuk membantunya belajar dan menjadi lebih pintar.