GAZA – Anwar al-Dobari, seorang petani Palestin, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas dia berjaya memasuki ladangnya yang terletak di bandar Rafah, selatan bandar raya Semenanjung Gaza, buat kali pertama selepas 12 tahun Israel mengenakan zon perantaraan di sepanjang sempadannya bersama dengan Gaza.
Al-Dobari berjaya mengunjungi tanah 12-dunumnya (12,000 meter persegi) di kampung Al-Shoka, timur Rafah, selepas beberapa jam penyelarasan keselamatan antara Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan pihak berkuasa Israel.
“Saya sangat gembira kerana kaki saya dapat menjejaki semula tanah pertanian saya ini selepas bertahun-tahun lamanya,” kata petani berusia 40-an ketika memulakan operasi menyemai benih gandumnya.
Dia berkata gandum boleh tumbuh melalui air hujan dan tidak memerlukan penjagaan rapi, sambil menambah bahawa tentera Israel tidak membenarkan penanaman tumbuh-tumbuhan tinggi seperti pokok, kerana ia mungkin akan menyekat pemandangan pengawal sempadan.
Zon perantaraan telah didirikan setelah Perjanjian Oslo ditandatangani antara Pertubuhan Pembebasan Palestin dan Israel pada awal tahun 1990-an. Ia kemudiannya berkembang secara meluas oleh Israel.
Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Manusia, zon perantaraan itu telah mengambil 17 peratus daripada jumlah keseluruhan tanah Gaza, di mana 35 peratus adalah tanah perladangan. Ia dalam keadaan yang tidak selamat dan dekat dengan pagar sempadan yang dikawal rapat.
“Selepas tiga bulan, kami akan kembali ke sini untuk menuai tanaman kami di bawah pengawasan ICRC,” kata al-Dobari. “Kami berharap Israel akan membenarkan kami menuai.”
Dia merayu kepada organisasi antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Israel agar para petani dapat mengakses tanah mereka secara bebas supaya mereka dapat menanam tanaman mereka.
Seluruh Semenanjung Gaza telah dikawal ketat di bawah pengepungan Israel sejak pergerakan Hamas merampas wilayah itu secara paksa pada tahun 2007.
Dalam enam tahun kebelakangan ini, gerakan Israel dan Hamas telah terlibat sama dalam tiga peperangan besar yang telah mengorbankan ribuan nyawa rakyat Palestin dan Israel.
Israel telah melancarkan peperangan besar melawan Hamas di Gaza pada musim panas 2014. Serangan itu membunuh kira-kira 2,200 rakyat Palestin dan mencederakan 11,000 orang lainnya. Seramai 70 warga Israel terbunuh dalam konflik itu.
Walaupun perjanjian gencatan senjata selepas peperangan itu dicapai – di mana ia telah memberi akses dalam jarak 100 meter dari pagar – warga Palestin mengadu bahawa mereka masih dalam bahaya walaupun berada sejauh 500 meter dari sempadan itu.
Dalam tiga tahun kebelakangan ini, ICRC telah berjaya menjalin kerjasama dengan kementerian pertanian dan pedalaman Gaza serta pihak berkuasa Israel, untuk membolehkan petani-petani di Semenanjung Gaza dapat mengakses tanah mereka, yang berada antara 100-300 meter dari sempadan.
“Pasukan ICRC telah melakukan yang terbaik dalam membantu petani berkenaan untuk selamat sampai di ladang mereka,” kata Osama al-Mukhalalati, ketua program pertanian IRCR.
Dia menambah bahawa pertanian juga membantu meningkatkan ekonomi Gaza. – Xinhua