Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Dengan matlamat untuk menyemai kesedaran tentang kelestarian alam sekitar dalam kalangan belia tanah air, Alumni Sustainable Ocean Alliance (SOA) Brunei dengan sokongan Kedutaan Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam telah mengungkayahkan program Perkhemahan AdvocaLAW (Land, Air and Water) selama tiga hari yang berakhir kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Alumni SOA Brunei, semasa program itu, seramai 20 orang pemimpin muda berumur antara 14 hingga 17 tahun telah berpeluang menimba pengetahuan demi sama-sama membuka minda dalam aspek kelestarian alam sekitar dan impak-impaknya.
Misi utama program adalah untuk membawa golongan belia memahami sedalam-dalamnya mengenai kelestarian alam sekitar sejak di usia muda lagi yang sekali gus menyediakan mereka kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan melalui sesi perkongsian dan aktiviti yang menarik.
Pada akhir program, para peserta berpeluang menjalankan aktiviti mengutip sampah di sepanjang Pantai Muara sambil berjoging demi sama-sama mengamalkan gaya hidup lebih sihat.