Aktiviti rentas sempadan terus ditangguhkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, penangguhan aktiviti rentas sempadan akan dilanjutkan lagi selama 14 hari dari 8 sehingga 21 Mei ini.

Penangguhan juga berdasarkan siaran media Jabatan Perdana Menteri (JPM) bertarikh 22 April 2021 lalu mengenai perkara penangguhan kebenaran kemasukan warga asing melalui pos-pos kawalan darat dan laut termasuk perjalanan transit melintasi Brunei, kecuali bagi kemasukan atau perjalanan transit yang telah diberikan kebenaran oleh kerajaan Brunei.

Kemasukan dan perjalanan transit melalui negara ini hanya boleh dipertimbangkan bagi kenderaan-kenderaan yang mempunyai Permit Lintas Batas dan Penyata Kebenaran Transit yang dikeluarkan oleh kerajaan Brunei Darussalam dengan jaminan atau sokongan daripada pihak berkuasa negara yang berkenaan, dengan dikenakan syarat dan prosedur kemasukan yang sedia ada, bagi tujuan urusan rasmi kerajaan, persekolahan, perkhidmatan-perkhidmatan kecemasan seperti ambulans, polis dan tentera serta transport operators yang berdaftar di luar negara dengan Permit Lintas Batas dikeluarkan oleh Negara Brunei Darussalam bagi penghantaran bekalan import yang penting.

Penangguhan sementara kebenaran bagi pengambilan dan penghantaran barangan milik individu di lokasi-lokasi khusus di perkarangan sempadan dibuat oleh runners berdaftar di negara ini juga dilanjutkan sehingga 21 Mei.

Begitu juga penangguhan kebenaran bagi keluar dan masuk negara secara berulang alik melalui pos-pos kawalan darat mahu pun laut bagi tujuan pekerjaan juga dilanjutkan sehingga tarikh sama. Syarat-syarat bagi pertimbangan keluar masuk yang dinyatakan di atas adalah tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Pandu Hal Ehwal Rentas Sempadan dari semasa ke semasa. Bagi sebarang maklumat lanjut dan terperinci, bolehlah menghubungi travel hotline di talian 120 semasa waktu bekerja.