Tuesday, October 8, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aktiviti riadah memanah meriah

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Aktiviti Riadah Memanah Pusat Beliaku Ceria yang berlangsung di Pusat Belia di ibu negara sehingga pukul 5:30 petang hari ini mendapat sambutan yang menggalakkan.

    Pelancaran aktiviti itu disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara,Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadi.

    Antara objektif aktiviti adalah untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat Brunei khususnya mengenai pelbagai aktiviti yang dianjurkan di Pusat Belia BSB sekaligus menarik minat orang awam berkecimpung dalam bidang sukan memanah.

    Acara riadah itu turut memberi peluang kepada orang ramai untuk mencuba sukan ini secara percuma dengan bantuan dan menerima tunjuk ajar daripada ahli Kelab Memanah Seri Begawan (SBA).

    Di samping itu, ia diharap dapat menarik minat masyarakat untuk berkunjung bersama keluarga ke Pusat Belia BSB, kerana aktiviti ini adalah antara pengisian sampingan program Bandarku Ceria yang diadakan pada hujung minggu.

    Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi bergambar ramai bersama para peserta yang terlibat dalam aktiviti riadah memanah di Pusat Belia sempena Pusat Beliaku Ceria, kelmarin.

    Pihak penganjur turut membukakan empat kategori pertandingan memanah iaitu kategori ‘Modern Archery’ lelaki dan kategori ‘Modern Archery’ wanita serta kategori ‘Traditional Archery’ lelaki dan kategori ‘Traditional Archery’ wanita.

    Pertandingan ini disertai oleh 60 peserta dan ini tidak termasuk penyertaan Fun Shoot yang dibukakan kepada orang ramai.

    Acara riadah itu membuka peluang kepada para pengunjung mempelajari serta mendalami pengetahuan mereka berkenaan acara sukan memanah.

    Ia adalah sebagai langkah awal pihak penganjur  dalam usaha untuk melahirkan atlet sukan memanah yang memenuhi standard seterusnya mampu menjadi calon bagi mewakili Brunei di acara pertandingan seumpamanya sama ada di peringkat negara, serantau dan antarabangsa di masa akan datang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda