Aktiviti, riadah terhad di Program Bandarku Ceria

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Ibu negara kembali aktif pada pagi hujung minggu dengan Program Bandarku Ceria (BKC) bermula hari ini, namun ia hanya dibenarkan bagi aktiviti riadah secara individu atau dalam jumlah kumpulan yang terhad.

Aktiviti berjaja bagaimanapun ditiadakan sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Program adalah berdasarkan Garis Panduan Fasa Peralihan yang membenarkan aktiviti-aktiviti riadah di kawasan terbuka, namun dalam jumlah yang terhad.

Tinjauan wartawan di ibu negara hari ini mendapati sejumlah kecil penduduk melakukan aktiviti riadah di jalan-jalan yang ditutup, meskipun ia sedikit lengang kerana ketiadaan aktiviti berjaja dan riadah pula terhad kepada berbasikal, skuter dan berjoging atau berjalan kaki.

Selain itu, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan bersama pihak penguat kuasa turut mengadakan pemantauan di sekitarnya agar tidak ada peniaga atau perniagaan dibuat sepanjang kebenaran BKC pada Fasa Peralihan ini.

Awangku Muhd Hadi Redza bin Pengiran Haji Redzaini (gambar sisipan) gembira BKC bermula meskipun suasana agak sunyi.
Awang Ahmad Saufi (kanan) dari Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan bersama anggota PPDB menjalankan pemantauan semasa program itu bagi memastikan para pengunjung mamatuhi SOP yang ditetapkan.
Orang ramai tidak melepaskan kesempatan beriadah di ibu negara semasa pembukaan semula BKC, kelmarin.

Penolong Pegawai Bandaran Tingkat II, Bahagian Perekonomian Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Awang Ahmad Saufi bin Haji Mohd Yusof ketika ditemu bual mengatakan, “Kami telah mengadakan pemeriksaan untuk memastikan tiada peniaga atau mana-mana pihak mendirikan khemah-khemah jualan. Kawalan ini dilaksanakan bermula jam 4 pagi sehingga 8 pagi, namun tiada aktiviti jualan dikesan setakat hari ini di jalan-jalan utama BKC seperti Jalan Robert, Jalan Pemancha, Jalan Sultan, Jalan Pretty dan Jalan Elizabeth.”

Menurutnya, lima petugas dari jabatan tersebut menjalankan pemeriksaan dibantu oleh beberapa orang anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi memeriksa BruHealth, pemakaian pelitup muka, vaksinasi lengkap dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mereka yang menyertai program.

Wartawan Media Permata turut berkesempatan menemu bual salah seorang pengunjung, Awangku Muhd Hadi Redza bin Pengiran Haji Redzaini yang melahirkan kegembiraan kerana program itu sudah bermula.

“Suasana agak sunyi kerana belum ada sambutan daripada orang ramai, namun saya harap dengan adanya BKC ini, ia akan kembali memeriahkan semula ibu negara seperti sebelum ini,” tambahnya.

Pengunjung BKC dikehendaki mengikut garis panduan Fasa Peralihan yang sama dengan garis panduan bagi kemudahan, aktiviti kecergasan dan rekreasi antaranya lengkap dua dos vaksin, kod BruHealth hijau dan kuning, aktiviti riadah berkumpulan tidak melebihi 15 orang, memakai pelitup muka pada setiap masa kecuali ketika melakukan senaman atau kegiatan fizikal dan penjarakan fizikal semasa bersenam atau bersukan sekurang-kurangnya 1.5 meter antara individu serta tidak berkongsi minuman.

Sepanjang BKC Fasa Peralihan ini, jalan-jalan yang ditutup ialah Jalan McArthur, Jalan Pemancha, Jalan Pretty, Jalan Robert, Jalan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Elizabeth II, Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Haji Basir, Jalan Stoney, Jalan Sekolah, Jalan Kumbang Pasang dan Jalan Perdana Menteri sehingga pusing keliling berdekatan Jabatan Perdana Menteri.