Aktiviti sihat sebelum cuti panjang

Oleh Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Bagi memastikan para pelajar berseronok pada hari-hari terakhir persekolahan sebelum cuti panjang akhir tahun bermula, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah (SM PAPHRSB) telah mengadakan beberapa aktiviti selepas peperiksaan penghujung tahun.

Antara yang diadakan adalah Hari Hijau Tahunan yang bertujuan untuk menunjukkan dan menanamkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan tumbuh-tumbuhan sebagai warna kehidupan serta sumber-sumber semula jadi dan tenaga yang boleh diperbaharui.

Oleh itu, antara aktiviti yang diadakan semasa acara itu termasuk berjalan di sekitar Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Lumut II untuk mengutip sampah di tepi-tepi jalan yang dilakukan oleh para pelajar dan guru sekolah.

Di samping itu, aktiviti itu juga bermatlamat untuk mempromosikan amalan-amalan gaya hidup sihat kerana berjalan pantas merupakan peluang untuk menggerakkan jantung dan otot.

Selain itu, baru-baru ini, sekolah berkenaan juga menghoskan aktiviti kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) yang termasuk latihan kebakaran yang dijalankan selepas perhimpunan pagi untuk mengingatkan para pelajar dan guru-guru mengenai kepentingan prosedur yang perlu dipatuhi demi memastikan keselamatan semua orang.

Aktiviti HSE itu juga menyaksikan penyampaian taklimat daripada pegawai-pegawai Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Haji Mohd Nazirul Syarqawi bin Haji Mohd Jaini dan Syed Abdul Hadi bin Malai Hassan yang mengetengahkan mengenai kepentingan HSE dalam situasi sebenar dan bagaimana ia membantu menyelamatkan nyawa.

Gambar ramai pelajar dan guru selepas mengakhiri aktiviti mengutip sampah di sekitar kampung sempena acara Hari Hijau. – Gambar serahan SM PAPHRSB