Aktor Chase Me meninggal dunia

Pelakon Taiwan-Kanada, Godfrey Gao disahkan meninggal dunia apabila tidak sedarkan diri sewaktu menjalani penggambaran program realiti televisyen iaitu Chase Me di China Timur baru-baru ini.

Menurut Maoyan Entertainment, Godfrey atau nama sebenarnya Tsao Chih-hsiang dikejarkan ke pusat perubatan selepas rebah ketika berlari dalam satu acara berpasukan.

Bagaimanapun, sebelum Gao dikejarkan ke hospital, paramedik sempat memberi bantuan pernafasan (CPR) selama 15 minit sebelum jantungnya berhenti berdegup. Tidak lama selepas itu, Zhejiang Televisyen kemudian mengumumkan Gao meninggal dunia pada usia 35 tahun selepas doktor gagal menyelamatkannya.

Chase Me adalah rancangan realiti Cina yang membuat rakaman pada waktu malam di kawasan bandar dan melibatkan dua pasukan saingan untuk memenangi perlumbaan.

Untuk rekod, pelakon kelahiran Taipei, Taiwan ini mempunyai ibu yang berasal daripada Malaysia dan bapa berasal Taiwan.

Sebelum ini, Gao banyak menghabiskan masa kecilnya di Vancouver, British Columbia, sebelum kembali ke Taiwan pada tahun 2004 untuk bekerja sebagai model dan pelakon. – Agensi

Tsao Chih-hsiang dikejarkan ke pusat perubatan selepas rebah ketika berlari dalam satu acara berpasukan. – Agensi