Aktor veteran, Liu Kai Chi meninggal dunia akibat kanser perut di Hospital Prince Of Wales di Sha Tin, Hong Kong.
Kai Chi menghembuskan nafas pada usia 67 tahun selepas bergelut dengan penyakit berkenaan sejak Disember, tahun lalu. Mengikut laporan portal South China Morning Post, berita kematian pelakon yang terkenal dengan jolokan ‘everyman’ itu disahkan oleh agensinya, L&P Entertainment. Beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya.
L&P Entertainment menerusi kenyataan yang dikeluarkan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat.
“Terima kasih kepada pihak hospital menjaga Kai Chi dengan baik, sejak beberapa bulan lalu. Malah, mendiang juga mendapat sokongan peminat dan media masa. Mereka mengambil berat dan mendoakannya kembali sembuh.
“Bagaimanapun, hayatnya tidak panjang. Terima kasih kerana memberi ruang kepada keluarganya pada saat sukar ini. Keluarga berat hati berpisah dengannya, namun mereka berharap dapat bertemu di syurga,” kata wakil L&P Entertainment.
Kai Chi atau nama sebenarnya, Dick Liu Kai Chi bekerja lebih 25 tahun di bawah naungan syarikat penyiaran Television Broadcasts Limited (TVB).
Beliau bertemu dengan isterinya, Barbara Chan Man Yee, 60, ketika bekerja di syarikat penyiaran berkenaan pada 1987. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata. Namun, anak bongsunya meninggal dunia pada usia lima tahun pada 2016 selepas menghidap penyakit Leukimia.
Awal bulan isterinya mendedahkan kepada media tempatan mengenai penyakit yang dialami suaminya, sejak tahun lalu. Malah, agensinya turut memaklumkan Kai Chi menghidap masalah jantung dan tidak boleh aktif bekerja.
Sepanjang hayat, Kai Chi membintangi 90 drama bersiri dan 70 filem. Kai Chi pernah dua kali diangkat sebagai Pelakon Pembantu Terbaik, Festival Film Hong Kong menerusi filem Cageman dan The Beast Stalker. Beliau juga pernah membintangi filem Shock Wave di samping aktor, Andy Lau. – Agensi
