Aktres Yuko Takeuchi dipercayai bunuh diri

Bintang ‘Miss Sherlock’, Yuko Takeuchi, 40, ditemui mati dipercayai membunuh diri di kediamannya di Shibuya, Tokyo, semalam.

Menurut portal The Japan Times, mayat Takeuchi ditemui suaminya yang juga pelakon, Taiki Nakabayashi, 35, di bilik tidur di apartmen sekitar jam 2 pagi. Bagaimanapun, tiada nota bunuh diri ditemui.

Takeuchi dihantar ke sebuah hospital dan kemudiannya disahkan meninggal dunia. Jabatan Polis Metropolitan Tokyo melancarkan siasatan dan mengesyaki Takeuchi meragut nyawanya sendiri, lapor portal berkenaan.

“Secara tiba-tiba, kami terkejut dan sedih dengan berita kematiannya. Pihak berkuasa sedang memeriksa perincian kejadian,” kata agensi bakatnya, Stardust Promotion Inc.

Takeuchi, bintang terkenal di Jepun dengan filem klasik seram Jepun, Ringu pada 1998 yang diadaptasi oleh filem Hollywood sebagai The Ring.

Takeuchi juga membawakan watak Sherlock Holmes versi wanita menerusi drama bersiri HBO, Miss Sherlock yang ditayangkan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat pada 2018.

Beliau pernah diangkat Aktres Terbaik, Anugerah Akademi Jepun selama tiga tahun berturut-turut pada 2004.

Takeuchi baru sahaja melahirkan anak kedua pada Januari lalu, hasil perkahwinannya bersama Nakabayashi, tahun lalu. Beliau memiliki seorang anak lelaki berusia 14 tahun dalam perkahwinan pertama bersama pelakon, Shido Nakamura II.

Kematian aktres itu sememangnya mengejutkan, malah dianggarkan ramai selebriti Jepun memilih mengambil nyawa sendiri hingga berlaku peningkatan kes bunuh diri. – Agensi

Aktres Terbaik, Anugerah Akademi Jepun selama tiga tahun berturut-turut ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya di Shibuya, Tokyo. – Agensi