Akuakultur guna teknologi Nano

KOTA KINABALU, 14 JULAI – Projek Ternakan Kerapu Hibrid dan Udang Kara di Bakut View Putatan yang mempelopori penggunaan Sistem Perladangan Pintar Akuakultur (SAS) di negara ini, mengguna pakai teknologi Nano terkini.

Ia diusahakan oleh PCB Biotech Sdn Bhd, anak syarikat Permodalan Capital Berhad.

Pengerusi PCB Biotech Sdn Bhd Datuk Seri Dr Arsit Sedi berkata sistem SAS dengan pelaksanaan teknikalnya memendekkan tempoh pembiakan, mengurangkan kadar kematian, mengurangkan kerja penyelenggaraan dan upah buruh.

Sistem akuakultur ini mesra alam, tidak tercemar, kos efektif dan berkesan serta boleh menggalakkan kadar pertumbuhan yang tinggi dan kadar kematian rendah hasil akuakultur seperti ikan laut atau ikan air tawar, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita bersempena lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub ke projek ternakan itu di Kampung Sendil Putatan dekat sini, hari ini.

Turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat itu dengan Pertubuhan Perladangan Kawasan (PPK) Putatan dan EZ Retail.

Beliau berkata SAS menggunakan teknologi dari Jepun dengan benih udang kara yang diusahakan di ladang akuakultur itu diimport dari Australia manakala ikan kerapu hibrid yang diternak adalah untuk pasaran China.

Arsit yang juga Pengerusi PPK Putatan berkata MoU yang ditandatangani dengan PPK Putatan adalah bagi penggunaan tapak tanah PPK yang sesuai untuk projek akuakultur itu.

Katanya menerusi MoU itu, RM1 daripada setiap kilogram hasil jualan produk di ladang akuakultur itu akan disalurkan kepada PPK Putatan. – Bernama

Datuk Salahuddin Ayub memberi makanan ternakan ikan laut kaedah bio tech-PCB ketika melakukan lawatan Projek Ternakan Ikan Laut dan Udang Kara di Kolam Ikan Bakut View Putatan. – Bernama