Akuaponik jaga alam sekitar, amalan gaya sihat

JOHOR BAHRU – Bidang tanaman akuaponik bukan sahaja boleh menjana pendapatan tetapi mampu mendorong pengusahanya mengamalkan gaya hidup sihat serta memelihara alam sekitar.

Kelebihan ini yang membuatkan K.Murugan, 50, gigih menimba ilmu untuk memastikan keputusannya untuk berhenti kerja dan menceburi bidang tanaman akuaponik akan membuahkan hasil.

Anak kelahiran Lumut, Perak ini pernah bekerja sebagai pemandu pelancong selama tiga tahun setengah dan kemudian sebagai pemandu jengkaut selama 22 tahun.

Waktu kerja yang panjang dan sering tiada di rumah membuatkan Murugan membuat keputusan untuk berhenti kerja pada tahun 2012 untuk melakukan sesuatu yang membolehkan beliau menghabiskan lebih masa untuk isteri, S. Kogilavani dan empat orang anaknya, terdiri dari tiga perempuan dan seorang lelaki, yang kini berumur antara 26 hingga 16 tahun.

Sememangnya, beliau suka berkebun tetapi cuma setakat menanam beberapa jenis pokok termasuk pokok pisang, pokok daun kari dan pokok cili di tanah sebelah rumah teres setingkatnya yang terletak di Taman Skudai, Johor Bahru.

K. Murugan (kiri) dan isterinya S. Kogilavani melihat hasil tanaman yang ditanam oleh mereka. – Bernama
Antara tanaman yang boleh ditanam menerusi akuaponik dan mempunyai potensi nilai pasaran yang tinggi ialah salad, daun kesum, daun sirih, cili merah, pelbagai jenis herba dan bayam Brazil. – Bernama

Murugan cuba mencari tanaman yang sesuai dengan ruang tanah yang ada di sebelah rumah penjurunya dan memilih akuaponik, selepas terbaca artikel dan menonton penerangan melalui You Tube betapa mudah mengendalikannya.

Setelah kira-kira enam tahun mengusahakan tanaman akuaponik, beliau mahu berkongsi pengalamannya dan supaya masyarakat memahami konsep akuaponik yang terbukti banyak memberi manfaat kepada diri beliau serta keluarganya.

Paling utama, tanaman akuaponik menggunakan teknologi mesra alam dan tanpa menggunakan sebarang baja kimia.

Apa itu akuaponik?

Menurut Murugan, konsep akuaponik adalah antara teknologi pertanian yang menggabungkan akuakultur (ternakan ikan air tawar) dan hidroponik (kaedah pertanian berasaskan air).

Sistem akuaponik pula terbahagi kepada tiga komponen utama meliputi pembinaan sistem, penjagaan ikan dan penjagaan tanaman. Tanaman akuaponik juga sememangnya tidak meng-gunakan sebarang baja kimia sebaliknya menggunakan baja daripada sisa perkumuhan ikan ternakan.

“Air dan sisa kumuhan daripada najis dan air kencing ikan itulah yang akan disalurkan melalui saluran kepada tanaman berkenaan sebagai baja,” katanya dalam wawancara dengan media baru-baru ini.

Antara jenis ikan yang pernah digunakan untuk tanaman akuaponik ini termasuk ikan sepat dan ikan talapia memandangkan spesies ikan itu mudah dibela.

Jelas Murugan, penanaman akuaponik juga boleh dilakukan di perkarangan rumah atau beranda serta mereka yang mempunyai ruang yang terhad.

Banyak potensi

Menyifatkan “ilmu akuaponik” itu mudah dipelajari, Murugan berkata selama dua tahun beliau belajar menerusi video penanaman akuaponik di YouTube.

“Saya juga banyak mendapat maklumat mengenai tanaman ini melalui pembacaan yang meluas serta bertanya kepada individu berpengalaman bagi membina konsep pertanian akuaponik yang mesra kediaman,” katanya yang turut mengkomersilkan tanamannya melalui jenama Alora Eco Green Products.

Tanpa disangka, kini aktiviti berkebun secara ‘kecil-kecilan’ yang diusahakannya turut menjadi rujukan ramai khususnya peminat akuaponik.

Mengulas mengenai potensi tanaman akuaponik, Murugan berkata kaedah ini masih belum dilaksanakan secara meluas di Malaysia meskipun memiliki banyak kelebihan berbanding penanaman konvensional.

Atas kesedaran itu, Murugan juga bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri Johor sebagai tenaga pengajar untuk mereka yang berminat dengan tanaman akuaponik ini.

“Program yang dianjurkan ini adalah hasil inisiatif FAMA Johor bagi membantu seramai 50 orang peserta daripada golongan B40 yang ingin menjana pendapatan mereka melalui hasil tanaman akuaponik,” kata Murugan, berkongsi pengalamannya sebagai tenaga pengajar.

“Saya mempunyai ilmu pengetahuan yang meluas mengenai tanaman akuaponik jadi saya menggunakan kelebihan yang ada untuk berkongsi cara yang terbaik memulakan tanaman ini kepada orang ramai,” tambahnya.

Antara tanaman yang boleh ditanam menerusi akuaponik dan mempunyai potensi nilai pasaran yang tinggi ialah salad, daun kesum, daun sirih, cili merah, pelbagai jenis herba dan bayam Brazil.

Tanaman yang disenaraikan itu mampu mengeluarkan hasil dengan cepat malah bernilai tinggi, contohnya bayam Brazil yang kini mencecah RM80 sekilogram di pasaran.

Murugan juga mengamalkan “konsep suka bersedekah” dengan sering berkongsi tanamannya dengan jiran sekeliling selain tanaman akuaponiknya di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Gelang Patah, sebagai tanda sokongan terhadap sekolah tersebut melakukan kempen “Bumi Hijau, Bumi Sihat”.

Kelebihan penanaman akuaponik, bebas penyakit 

Kaedah penanaman akuaponik ini juga menjimatkan kos malah penjagaannya juga cukup mudah iaitu hanya memerlukan siraman air sekali seminggu dan kemudian tunggu sehingga sayuran itu boleh dipetik.

Penanaman akuaponik ini juga mampu menghasilkan hasil tanaman yang lebih berkhasiat serta selamat untuk dimakan.

“Isteri saya hanya memasak sayur yang kami tanam sendiri untuk hidangan keluarga. Kami tidak lagi membeli sayur-sayuran di pasar awam,” katanya.

Menurut beliau lagi, tanaman akuaponik ini juga banyak memberi kebaikan kepada dirinya dan keluarga, bukan sahaja daripada segi penjagaan kesihatan, malah hubungan bersama keluarga, menjadi lebih akrab dan mesra.

“Isteri dan anak-anak turut membantu saya mengendalikan tanaman akuaponik ini.

“Mereka juga berminat dan banyak memberi idea kepada saya untuk memperbaiki sistem ini bagi mendapatkan hasil tanaman yang lebih berkualiti,“ katanya.

Murugan pernah meng-hidap penyakit diabetes selama tiga tahun tetapi setelah mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif dengan mengusahakan tanaman akuaponik, beliau kini bebas daripada penyakit tersebut.

Bina rumah hijau, perancangan masa hadapan

Menyedari potensi akuaponik pada masa hadapan, Murugan bersama rakan kongsinya, kini mengorak langkah untuk membina rumah hijau sekaligus merealisasikan tanaman akuaponik secara besar-besaran.

Salah satu daripada perancangannya termasuk mencari tempat penanaman yang lebih luas dan berkongsi modal bagi mengusahakan tanaman akuaponik secara besar-besaran dengan menggunakan konsep rumah hijau.

“Konsep rumah hijau ini amat bersesuaian dengan kaedah akuaponik kerana kita dapat mengawal suhu serta dapat melindungi tumbuhan daripada hujan,” katanya yang juga mengusahakan baja organik daripada sisa makanan terbuang yang dijual melalui syarikatnya, Alora Eco Green Products.

Murugan turut menjual set tanaman akuaponik berbentuk vertikal yang direka bentuk sendiri dengan harga sekitar RM1,500 (tanpa ikan).

Beliau juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan dalam mempromosikan tanaman akuaponik termasuk kepada generasi muda.

Harapannya agar kesedaran terhadap konsep gaya hidup sihat dapat membuka mata dan minda masyarakat sekali gus membawa mereka kepada menanam tanaman akuaponik sendiri yang mampu memberi sumber sayur-sayuran segar dan lebih terjamin keselamatannya.

“Konsep akuaponik mempunyai banyak kelebihan terutama kepada mereka yang sibuk dengan kerjaya kerana ia tidak perlu disiram dan diberi baja kerana mendapat nutrisi daripada air kolam.

“Lebih baik lagi, penanaman akuaponik bebas daripada sebarang baja kimia dan mampu memelihara alam sekitar,” katanya. – Bernama