Sunday, April 2, 2023
22.4 C
Brunei

-

Akuarium lebih meriah dengan angelfish

Oleh Raz AS

Berbentuk seakan segi tiga, bermulut kecil, berbadan pipih dengan corak-corak warna yang pelbagai, angelfish merupakan salah satu lagi spesies ikan air tawar yang popular menghiasi akuarium para penggemar hobi ikan hiasan.

Spesies ikan yang tergolong dalam keluarga chiclidae ini, diminati kerana pergerakan renangannya yang kelihatan anggun dan lemah gemalai, menyerikan lagi akuarium bersaiz besar yang menempatkan pelbagai jenis ikan.

Angelfish merupakan ikan air tawar yang berasal dari sebahagian besar Amerika Selatan, yang beriklim tropika, termasuklah di Sungai Amazon. Dalam habitat naturalnya, ia ditemui di kawasan perairan yang mempunyai arus perlahan dan tenang, di bawah kawasan terlindung seperti berdekatan pokok-pokok kayu yang tumbang dan kawasan sungai yang redup ditutupi tumbuhan.

Ikan-ikan yang dibiak dan membesar dalam peliharaan mampu hidup dalam kondisi air yang lebih meluas. Kiraan pH antara 6.8 ke 7.8, serta suhu air antara 25 ke 28 darjah Celsius merupakan kondisi air yang paling sesuai baginya.

Disebabkan angelfish boleh membesar sehingga kira-kira 6 hingga 7 inci panjang dan 8 hingga 13 inci lebar, mengikut spesies, ia harus ditempatkan di dalam akuarium bersaiz besar sekurang-kurangnya yang bersaiz 200 liter, lebih baik lagi ia daripada jenis akuarium yang tinggi berbanding yang memanjang tetapi cetek, di sebabkan bentuk badannya.

Kederasan air daripada sistem penapis pula haruslah perlahan. Manakala akuarium juga bolehlah dihiasi dengan kayu tenggelam dan tumbuhan. Tumbuhan timbul pada bahagian permukaan juga boleh memberikan ia tempat berlindung daripada cahaya lampu. Bahagian dasar akua-rium pula boleh dilapisi dengan substrat halus ke sederhana, kerana kadang-kadang ia suka mencari makanan di bahagian dasar.

Walaupun secara amnya angelfish merupakan spesies ikan yang damai, namun ia boleh bertindak agresif sesama sendiri lebih-lebih lagi ketika musim mengawan. Ikan-ikan yang sesuai ditempatkan bersama angelfish adalah seperti spesies tetra bersaiz besar, rasbora, gourami, rainbowfish, corydoras dan seumpamanya.

Dinasihatkan agar tidak menempatkan ikan yang boleh muat ke mulutnya kerana angelfish tidak akan teragak-agak untuk memakannya.

Selain daripada fleks dan palet sebagai makanan harian, cacing dan krustasea kecil sama ada hidup atau beku juga boleh berikan berganti-ganti. Memberinya makan sekali sehari sudah memadai.

Angelfish boleh ditempatkan bersama spesies tetra yang bersaiz besar.
Pelbagai corak dan warna daripada variasi spesies angelfish.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Hayashi bakal lawat China di tengah-tengah ketegangan

TOKYO, 31 MAC - Menteri Luar Jepun, Yoshimasa Hayashi hari ini berkata beliau akan mengadakan lawatan ke China hujung minggu ini untuk berbincang dengan...
- Advertisment -