Akur COVID-19 corak norma baharu kehidupan

Oleh Yusrin Junaidi

Semenjak penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia dan tidak terkecuali negara kita, ia telah mengubah hampir keseluruhan corak kehidupan setiap individu dan setentunya memberi kesan dan cabaran serta dugaan yang diwujudkan oleh wabak berkenaan.

Kemunculan COVID-19 telah memberi kesedaran kepada semua akan kepentingan mengamalkan kebersihan diri sebagai usaha untuk mengekang penularan jangkitan. Di Negara Brunei Darussalam sendiri, langkah-langkah pencegahan telah diterapkan dalam kehidupan harian dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Namun, segelintir komuniti ada yang masih kurang mematuhi arahan dan leka dengan persekitaran yang menyumbang kepada penularan kalangan komuniti.

Jalani kehidupan dalam norma baharu

Semenjak Program Vaksinasi Kebangsaan dilancarkan bermula April lalu oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan, keyakinan masyarakat serba sedikit telah meningkat untuk terus hidup dalam keadaan selamat dan menjalani kehidupan dalam norma baharu.

Menjalani kehidupan dalam norma baharu bermaksud kita tidak lagi bebas seperti dulu untuk keluar rumah tanpa ada rasa risau, was-was dan khuatir dalam diri. Kini kita harus mengetatkan langkah-langkah keselamatan, menjaga jarak sosial dan paling utama menjaga kebersihan setelah keluar dari rumah.

Mematuhi SOP yang telah ditetapkan akan dapat membantu kerajaan membendung penularan seperti memakai pelitup muka setiap masa ketika berada di luar rumah dan di tempat yang sesak, menggunakan pencuci atau pensanitasi tangan boleh membantu kita terlindung daripada jangkitan.

Semenjak Program Vaksinasi Kebangsaan dijalankan, ia telah meyakinkan serba sedikit masyarakat untuk terus hidup dalam keadaan selamat dan menjalani kehidupan dalam norma baharu.
Buku kuning (pas vaksinasi) yang dikeluarkan juga akan dijadikan perkara mandatori untuk dibawa ke mana-mana termasuk memasuki premis perniagaan, pejabat kerajaan dan swasta dan sebagainya. – Gambar fail
Pelaksanaan ujian swab bergerak juga merupakan antara inisiatif kerajaan untuk mengesan dan mengekang jangkitan wabak.
Langkah-langkah pencegahan telah diterapkan dalam kehidupan seharian dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh WHO seperti melakukan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1.5 meter.

Meskipun kadang-kadang kita akan merasa sukar dan rimas dengan arahan ini, kita harus ingat, inilah norma baharu yang kita perlu hadapi sampai bila-bila yang dikenali sebagai endemik. Meskipun kebanyakan kita sudah menerima vaksinasi, kita perlu ingat ada di antara kanak-kanak dan mereka yang tidak dapat menerima vaksinasi masih terdedah dengan penularan wabak dan ini adalah antara masalah yang akan dihadapi oleh dunia setelah program vaksinasi mencapai 100 peratus.

Aplikasi BruHealth telah banyak membantu dalam kehidupan seharian, contohnya indikasi warna kod BruHealth mampu mengekang orang yang berlainan kod selain hijau dan kuning untuk bergerak bebas dalam masyarakat awam.

Buku kuning (pas vaksinasi) yang dikeluarkan juga nantinya akan dijadikan perkara mandatori untuk dibawa ke mana-mana termasuk memasuki premis perniagaan, pejabat kerajaan dan swasta dan sebagainya.

Peraturan baharu ini juga telah dilaksanakan di beberapa buah negara seperti Indonesia, Malaysia dan banyak lagi, walau bagaimanapun, peraturan ini masih belum memberikan kebenaran kepada kanak-kanak di bawah 12 tahun yang belum mendapatkan vaksinasi.

Semasa gelombang pertama penularan wabak COVID-19, Brunei dengan cepat mengekang penularan virus berkenaan sebelum tersebar di kalangan komuniti. Ketika gelombang pertama, kita mampu mengekang penularan komuniti kerana akur dan faham dengan apa jua arahan yang diberikan dan bahayanya penyakit ini.

Namun bukanlah perkara itu untuk dijadikan sebagai sandaran untuk kita mengalah, kita harus bangkit dengan menyahut apa jua saranan kerajaan terutama dalam menjayakan program vaksinasi kebangsaan. Dengan tercapainya immuniti kelompok nanti, kita akan mampu hidup seperti biasa namun dalam norma baharu.

Meniti ke fasa peralihan

Pada fasa peralihan yang akan bermula pada 19 November ini, Negara Brunei Darussalam akan membuka beberapa fasiliti termasuk masjid dan surau-surau dengan memperketatkan SOP dan peraturan baharu yang telah ditetapkan antaranya jemaah yang telah menerima dua dos vaksinasi sahaja dibenarkan untuk menunaikan sembahyang di masjid dan surau.

Pada masa ini kanak-kanak 12 hingga 17 tahun telah menjalani program vaksinasi kebangsaan yang bermula pada 8 November lalu, yang banyak membantu kita mencapai sasaran vaksinasi negara sekali gus melegakan ibu bapa yang mahu sekolah dibuka semula setelah beberapa bulan menjalani pembelajaran dalam talian.

Untuk masyarakat umum, mungkin kita akan merasa susah dan terbeban dengan norma baharu ini tetapi ia akan membolehkan kita kembali kepada kehidupan sedia kala dengan titik yang berbeza. Kita harus menerima COVID-19 ini sebagai sebahagian kehidupan kita sama seperti virus penyakit bawaan influenza.

Kita juga perlu akur bahawa wabak ini mungkin sukar untuk dihapuskan, namun, kita masih ada pilihan terbaik untuk menjalani kehidupan dalam norma baharu.

Tetaplah yakin bahawa kita mampu untuk mengawal, kita juga ada senjata iaitu ‘vaksin ketuhanan’ maka teruslah berdoa dan tawakal berharap wabak ini akan segera reda.