PARIS, 14 SEPT – Pemain antarabangsa Itali, Marco Verratti telah menandatangani kontrak bersama kelab Qatar, Al Arabi, seperti yang diumumkan oleh kelab baharu dan bekas pasukannya, Paris Saint-Germain, kelmarin.
Al-Arabi telah mengongsikan video di media sosial yang menunjukkan pemain tengah itu dalam jersi kelab.
PSG yang dimiliki Qatar mengeluarkan kenyataan mengucapkan terima kasih kepada Verratti atas jasanya selama 11 tahun di kelab itu.
Verratti “memainkan peranan utama dalam sejarah hebat kami”, kata presiden kelab, Nasser al-Khelaifi.
“Paris, kelab dan penyokongnya akan sentiasa mempunyai tempat yang sangat istimewa dalam hati saya. Saya akan sentiasa menjadi orang Paris,” memetik kata-kata Verratti.

Verratti, 30, bergelut dengan masalah kecederaan. Dia juga mempunyai rekod disiplin yang teruk, mengumpul 141 kad kuning dan enam kad merah untuk PSG.
Penggantungan dan kecederaan telah menghadkan dia kepada 29 penampilan Ligue 1 musim lalu, tetapi jumlah itu adalah yang paling banyak sejak dia bermain 32 perlawanan pada 2014-2015.
Jurulatih baharu, Luis Enrique tidak memilih Verratti musim ini.
PSG tidak menerima sebarang tawaran konkrit daripada mana-mana kelab besar Eropah untuk Verratti, mungkin disebabkan gajinya yang tinggi.
Media Perancis melaporkan bahawa perpindahan tersebut sepatutnya mencecah 50 juta euro (AS$53.7 juta dolar).
Verratti memenangi sembilan kejuaraan liga Perancis dan Piala Perancis enam kali bersama PSG dan Kejohanan Eropah pada 2021 bersama Itali.
Selepas musim panas di mana Liga Arab Saudi terus menarik pemain terkenal, termasuk bekas rakan sepasukan Verratti di PSG, Neymar yang menyertai Al Hilal di Riyadh, pemain Itali itu merpakan bintang kedua yang berpindah ke Qatar dalam masa kurang seminggu. – AFP