Wednesday, April 17, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Al-Hafiz, Al-Hafizah Indonesia inspirasi hafaz Al-Quran

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar serahan KHEU

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Walaupun memiliki kekurangan sejak lahir, kedua-dua Al-Hafiz dan Al-Hafizah dari Indonesia yang dijemput untuk menyerikan majlis musabaqah, malam kelmarin, telah menyuntik kesedaran bahawa kekurangan bukanlah penghalang atau alasan untuk seseorang itu tidak boleh menghafaz Al-Quran keseluruhannya.

    Sehubungan dengan itu, sebagai inspirasi kepada pelajar khususnya dan kita semua, sesi kongsi sama bersama kedua-dua insan kelainan upaya iaitu Muhammad Naja Hudia Afifurrahman Agusfian (Naja) yang menghidap palsi serebrum atau lumpuh otak dan Nur Syahwa Syakhila Muhammad Sabhan (Kayla) yang menghidap gangguan penglihatan
    (tunanetra) telah diadakan di Audi-torium Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Rimba, hari ini.

    Hadir pada sesi anjuran Jabatan Pengajian Islam (JPI) melalui Unit Tilawah Al-Quran dan Dikir, Bahagian Pelajaran Lanjutan itu ialah Pemangku Penolong Pengarah (profesional) JPI, Pengiran Abdul Razak bin Pengiran Haji Metahir.

    Hadir sama ialah seramai 63 pelajar Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR) Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada 29 pelajar lelaki dan 34 pelajar perempuan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah disusuli dengan perkongsian biodata Al-Hafiz dan Al-Hafizah yang telah dianugerahkan keistimewaan oleh Allah SWT untuk menghafaz Al-Quran.

    Al-Hafiz dari Indonesia semasa diundang pada sesi kongsi sama tersebut.
    Pengiran Abdul Razak menyampaikan cenderahati kepada Kayla pada penghujung majlis berkenaan.

    Muhammad Naja telah berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran dalam masa 10 bulan, boleh menghafaz setiap muka surat, nama surah, nombor ayat, dan urutan dalam Al-Quran dengan baik.

    Beliau juga boleh menghafaz terjemahan 30 juzuk Al-Quran ketika berumur 10 tahun, serta hafaz kira-kira 1,000 hadis dari Kitab al-Jamik Bainasshahihain dan pernah dinobatkan sebagai juara Skim Tilawah Quran, Kota Mataram Indonesia.

    Manakala, Kayla telah berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran ketika berumur 10 tahun.

    Pada akhir sesi kongsi sama itu, para pelajar STAR berkesempatan menguji kebolehan hafazan Al-Hafiz dan Al-Hafizah berkenaan yang mana kedua-duanya dapat menyatakan nama surah, bilangan juzuk, muka surat, potongan ayat Al-Quran yang dibacakan untuk diulang baca dan sambung dengan tepat dan betul.

    Sebelum majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Abdul Mu’in bin Haji Abdul Hamid, penyampaian cenderahati kepada Naja dan Kayla telah disempurnakan oleh pemangku penolong pengarah (profesional) JPI.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...