Al-Hikmah juara dikir

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Kumpulan Al-Hikmah dari Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) menyandang gelaran juara Pertandingan Dikir Syarafil Anam peringkat ABDB bagi tahun 1441H/2019M anjuran Jabatan Agama ABDB (JAMA’AT), yang diadakan di Dewan Pahlawan, Berakas Garison, hari ini.

Manakala itu, naib johan dimenangi oleh Al-Muflihun dari Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dan tempat ketiga pula menjadi milik Kumpulan Asy-Syuja’ah dari Rejimen Pasukan Khas.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pemerintah ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat.

Turut hadir pada acara tersebut ialah pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pengarah-pengarah tentera, pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai serta anggota-anggota ABDB.

Kumpulan juara membawa pulang sebuah piala pusingan, wang tunai sebanyak $300 dan sijil penyertaan.

Pertandingan pada kali ini disertai oleh tujuh kumpulan yang terdiri daripada Kumpulan Ad-Difa’ dari Kementerian Pertahanan, Kumpulan Al-Amin dari Tentera Darat Diraja Brunei, Kumpulan Al-Bahriyyah dari Tentera Laut Diraja Brunei, Kumpulan Al-Muflihun dari TUDB, Kumpulan Asy-Syuja’ah dari Rejimen Pasukan Khas, Kumpulan Asy-Syuhada’ dari Akademi Pertahanan ABDB, dan Kumpulan Al-Hikmah dari Institut Latihan ABDB.

Pertandingan tersebut diungkayahkan bagi memupuk minat dalam kalangan anggota ABDB dalam bidang Dikir Syarafil Anam serta mengembang luaskan syiar Islam kepada anggota ABDB.

Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah menyampaikan piala kepada Kumpulan Al-Hikmah.