Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Persatuan Bolasepak Al-Idrus bakal mengadakan Kejohanan Liga Bola Sepak dan Kejohanan Bola Sepak Persatuan Bolasepak (FA), anjuran Kelab Sukan Al-Idrus, awal September depan.
Penganjuran kejohanan tersebut turut mendapat kebenaran dan sokongan daripada Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) selaku badan induk kepada sukan bola sepak di negara ini.
Oleh yang demikian, ahli jawatankuasa (AJK) tertinggi kejohanan ingin memaklumkan bahawa mesyuarat kali kedua pengurus-pengurus pasukan akan diadakan Ahad ini, bermula jam 2:30 petang di Hotel Al-Afiah, Kiulap.
Antara agenda yang akan dibincangkan pada mesyuarat itu ialah melibatkan peraturan am Kejohanan Liga dan Kejohanan Piala FA, pelantikan ketua-ketua dan ahli-ahli AJK termasuklah penentuan kumpulan dalam kejohanan liga dan undian bagi Kejohanan Piala FA, manakala kehadiran kesemua pengurus pasukan adalah diperlukan bagi melicinkan mesyuarat itu nanti.
Pada hari tersebut, pihak penganjur turut berharap agar dapat membuat pengesahan dan mengumpul senarai terkini pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan yang akan bermula pada September dan Oktober nanti.
Antara pasukan yang sudah membuat pengesahan pada kejohanan itu ialah Al-Idrus FT, Al-Idrus SC, Azam FT, Manggis FC, SM FC, Paguma FT, Gemilang Veteran, TJ FT, Rimba Star, ASMDB FT, Kasat Mix Veteran FT, Setia Bakti, Mengkubau United, Bakes Veteran, BESA FC, Mengelella Veteran FC, Panaga 2000 FC, MS Tawakal FC dan KB Warriors.
Manakala, antara pasukan yang akan muncul pada kedua-dua kejohanan itu adalah PBDB Veteran FT, BIP Veteran FC, MBS, Riwayat, AH United, I.T.F, MS PDB, BSRC Veteran, MVFT, PSJD, Stoneville FT, Cleas V F C, PMS, Pondok 12, Terazza FC, RB Veteran, Mix FT, IV TEAM, COMBINE KSKA dan AKSE Bersatu.