Al Idrus tempah tempat separuh akhir

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Al Idrus FT telah menempah tempat ke separuh akhir Piala FA Al Idrus 2020 selepas berjaya menjinakkan Terazza dengan jaringan 3-0, di Kompleks Sukan Berakas hari ini.

Dua gol berjaya dijaringkan oleh Rosli bin Ahad dan Ishak bin Ibrahim turut berada dalam senarai penjaring kedua Al Idrus dalam separuh masa pertama.

Terezza terdesak untuk mencari gol untuk mengejar perlawanan, dengan rembatan daripada Haji Sahari bin Haji Tahit berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Al Idrus, Abdul Latip bin Haji Omar.

Al Idrus terus mengukuhkan kedudukan, dengan bekas pemain kebangsaan, Azmanuddin bin Haji Gilen membuat percubaan menanduk bola ke gawang tetapi percubaan beliau terkena tiang gol selepas menerima umpanan daripada Othman bin Haji Apong.

Al Idrus gagal menyempurnakan peluang untuk menambah jaringan dengan tandukan Mohd Jabidi bin Johari tersasar dan percubaan Rosli tersasar.

Terazza hanya menurunkan seorang pemain penyerang iaitu Ampuan Rahim bin Ampuan Sabli, di mana beliau tampak garang di ruang kotak penalti, tetapi percubaan beliau dapat dikawal oleh penjaga gol Al Idrus.

Pasukan Terazza, yang menyarung jersi merah, mempunyai peluang terbaik untuk membuat jaringan tetapi percubaan daripada Ibrahim Noor bin Haji Ujan tersasar.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Kelab Sukan Al Idurs tahun ini menyaksikan pusingan kalah mati pasukan veteran dan kejohanan liga disertai oleh pemain yang berusia 50 tahun ke atas.

Pada edisi sebelumnya, kejohanan diadakan mengikut beberapa peringkat umur termasuk pemain yang berusia 40 dan ke atas.

Aksi pemain Al Idurs, Azmanuddin bin Haji Gilen (Hijau) cuba untuk melepaskan diri daripada kawalan dua pemain pertahanan Terazza (Merah), pada perlawanan Piala FA Al Idrus, kelmarin.