Al-Kahfi pembuka tirai acara keagamaan MRSB

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Ahli jawatankuasa takmir dan jemaah Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar, hari ini, telah memulakan aktiviti keagamaan setiap minggu membaca Surah Al-Kahfi.

Aktiviti mingguan setiap Jumaat itu dihadiri oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong selaku penaung masjid berkenaan.

Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Kira-kira 70 jemaah yang diketuai oleh imam MRSB, Haji Symsul menghadiri acara berkenaan yang diadakan selepas solat fardu Subuh.

Aktiviti keagamaan itu diadakan sebagai usaha mengimarahkan masjid dan merebut ganjaran daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Di samping itu, ia juga sebagai usaha untuk merealisasikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

Ia antara lain bertujuan membudayakan pembacaan Al-Quran dalam kehidupan bermasyarakat dan menambah erat hubungan silaturahim antara ahli-ahli takmir dan jemaah masjid.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika menghadiri aktiviti keagamaan di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah.