‘Al-Marhum titip kenangan berharga’

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan untuk mengeluarkan pesanan penuh perasaan pada Selasa lalu, bagi Al-Marhum kekandanya, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim yang mangkat pada 24 Oktober lalu.

Pesanan menyentuh perasaan itu dimuat naik ke akaun media sosial, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen di mana ia berbunyi, “Hari-hari dilalui tidak pernah membosankan ketika Abang Azim selalu ada. Al-Marhum suka bergurau, jenaka dan tidak terlalu serius dalam kehidupan.

“Tawanya amat membahagiakan tidak kira ia perkara melucukan atau tidak. Semua orang pasti akan ketawa. Al-Marhum menjalani kehidupan yang membahagiakan. Saya meluangkan setiap zaman kanak-kanak bersamanya.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen turut mendedahkan bahawa Al-Marhum DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim banyak mengajarnya dan membentuk dirinya seperti hari ini.

Selain dari itu, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen turut memaklumkan bahawa paduka kekandanya telah didiagnosis dengan vaskulitis sistemik akut di mana keadaan sistem imun yang tidak normal dan telah menyerang tisu tubuhnya sendiri.

“Pada saat yang sama, Al-Marhum berdepan gangguan bipolar yang membuatnya semakin sukar untuk bertarung.

“Akhirnya paduka kekanda mengalami banyak kegagalan organ disebabkan jangkitan berterusan akibat penyakit autoimun yang menjadi punca pemergiannya pada pagi 24 Oktober 2020.

“Kami ingin berkongsi maklumat mengenai penyakit ini kerana saya tahu inilah yang mahu dilakukannya.Meskipun saya dan seluruh keluarga bersedih dan amat menyayanginya, kami tahu Allah lebih menyayanginya. Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepadaNya kita kembali.”

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen mendedahkan bahawa Al-Marhum DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim merupakan seorang yang suka membuat gurauan, jenaka dan tidak terlalu serius dalam kehidupan.