Al-Quran, doa senjata tolak wabak COVID-19

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Al-Quran merupakan penyuluh kehidupan seluruh umat manusia daripada segala kegelapan ke arah kehidupan yang membentuk sebuah tamadun dan peradaban yang lebih sempurna.

Justeru, semua umat Islam di negara ini diseru untuk sentiasa mengamalkan pembacaan Al-Quran dan juga menghayati doa secara konsisten dan melakukannya bukan hanya kerana wabak yang dihadapi ketika ini, tetapi untuk meraih keberkatan berupa keamanan, kemakmuran dan keselamatan.

“Wabak koronavirus kini telah berjaya dikawal dan Beta yakin ianya dapat dicapai kerana cara pengawalannya seiring dengan pengamalan doa dan pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran.”

Al-Quran itu adalah penawar malah senjata untuk menolak segala keburukan dan tidak terkecuali wabak koronavirus.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah sedemikian sempena Sambutan Nuzul Al-Quran bagi tahun 2020 di Istana Nurul Iman, hari ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan titah bersempena Sambutan Nuzul Al-Quran bagi tahun 2020 di Istana Nurul Iman. – Gambar oleh Infofoto

Baginda seterusnya bertitah di Negara Brunei Darussalam, Al-Quran merupakan sumber keberkatan dan rahmat bagi kehidupan, di mana Baginda menyeru semua penduduk di negara ini agar sentiasa mengamalkan pembacaan Al-Quran di rumah masing-masing dan semua sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian pula dikehendaki untuk menyemarakkan lagi pendidikan Al-Quran.

“Tidak syak lagi, tarikh 17 Ramadan adalah detik yang bersejarah yang tidak boleh diabaikan kerana pada detik inilah dunia mula menerima cahaya Al-Quran, kitab yang menjadi penyelamat semua, di mana dunia sebelum ini dalam kegelapan dan manusia hidup terumbang ambing tanpa undang-undang dan peraturan.”

Titah Baginda lagi, apa-apa yang mewarnai Brunei selama ini adalah turut ditentukan oleh keberkatan Al-Quran kerana kita tidak pernah berenggang darinya malah terus memelihara dan membacanya.

Apabila Al-Quran turun, maka tirai kegelapan itu perlahan-perlahan terbuka, dengan angin keadilan juga mulai bertiup, memadam segala tradisi jahiliah yang teruk seperti mengubur hidup-hidup kanak-kanak perempuan dan lainnya.

Pada setiap tahun seperti lazimnya, Sambutan Nuzul Al-Quran diserikan dengan acara kemuncak iaitu penyampaian hadiah kepada pemenang dan peserta Musabaqah Menghafaz Al-Quran Peringkat Akhir Kebangsaan.

Pada tahun ini, titah Baginda, majlis tidak dapat diadakan dan penyampaian hadiah hanya akan disampaikan oleh pihak berkenaan secara di luar majlis sahaja.

Baginda dalam titahnya juga tidak lupa merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua peserta khasnya mereka yang berjaya dalam musabaqah ini.

Di samping itu, Baginda dalam titahnya berharap Sambutan Nuzul Al-Quran akan dapat disambut seperti biasa pada tahun yang akan datang.

“Merujuk kepada tema sambutan Nuzul Al-Quran tahun ini, ‘Menjana Keberkatan Rezki Dengan Al-Quran’ adalah apa yang sedang berlaku di negara ini berupa keamanan, perpaduan dan wabak koronavirus dapat dikawal tidak syak lagi adalah satu nikmat rezeki yang sangat bermakna yang bersumber daripada keberkatan Al-Quran.”

Mengapa tidak, titah Baginda, bukankan ayat-ayat Al-Quran itu penawar dan rahmat di mana kita tidak pernah berhenti daripada menghiasi negara ini dengan cahaya Al-Quran.

Baginda seterusnya bertitah menyeru semua penduduk di negara ini agar terus berdoa bagi memohon kesembuhan pesakit-pesakit daripada jangkitan koronavirus dan berharap mereka akan dapat kembali bertemu dengan keluarga masing-masing dalam keadaan selamat dan gembira.