Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Al-Quran: Keajaiban yang bukan misteri

    REALITI yang diketahui dan diakui oleh semua manusia, usaha untuk menghasilkan kitab seperti Al-Quran tidak pernah berjaya sejak 1,400 tahun yang lalu. Daripada sepuluh surah sehinggalah satu surah yang dicabar oleh Allah, namun masih gagal disahut oleh manusia.

    Semakin cuba dikaji, semakin mengagumkan isi kandungannya. Daripada fakta sejarahnya, kemudian ilmu arkeologi, embriologi, geologi, perubatan dan astronomi, semuanya bertepatan dengan penemuan-penemuan zaman kini.

    Bagaimanakah Al-Quran mampu mendedahkannya sedangkan keupayaan manusia mengetahui semua itu hanyalah wujud pada abad ini?

    Tanda kebesaran-Nya

    Biarpun sudut kandungannya sudah diakui kebenaran dan mengagumkan, namun jarang-jarang yang mengetahui sesungguhnya kekuatan bahasa Al-Quran itu sendiri sudah cukup membuktikan keajaiban al-Kitab ini. Firman Allah Subhanahu Wataala:

    “Sesungguhnya Kami telah turunkan Al-Quran (dalam) bahasa Arab, supaya kamu berfikir (untuk memahaminya).” (Surah Yusuf, ayat 2)

    Apabila Allah menyebut bahasa Al-Quran ialah bahasa Arab, ini adalah fakta yang diketahui umum. Namun apabila ayat ini diakhiri dengan ungkapan ‘supaya kamu berfikir’, bererti ada sesuatu yang Allah inginkan manusia berfikir tentang hakikat ini.

    Hal ini kerana kebiasaan ayat-ayat yang berakhir dengan ungkapan sebegini, kebanyakkan menunjukkan tanda-tanda kehebatan Allah.

    Mungkin buat masyarakat Arab sewaktu ayat ini diturunkan, mereka menyedari betapa hebatnya Al-Quran kerana pada zaman tersebut sememangnya manusia mengagung-agungkan ketinggian bahasa dan nilai sasteranya. Maka dengan turunnya Al-Quran, ia mengungguli suasana yang ada pada waktu tersebut. Keindahan bahasanya pun sudah cukup mengagumkan

    Namun apakah relevennya ayat ini kepada manusia selain daripada bangsa Arab? Bahkan, bukankah manusia pada zaman kini tidak lagi mengagumi sastera Arab? Maka bagaiman untuk turut sama memikirkan tentang kehebatan ini?

    Relevannya agar manusia sepanjang zaman daripada pelbagai bangsa termasuk Arab menyedari jika bangsa Arab silam yang terkenal dengan ketinggian sastera dan penguasaan bahasa pun gagal menyaingi Al-Quran dari sudut bahasa, maka cukuplah ini sebagai hujah ke atas mereka (bukan Arab) bahawa Al-Quran itu hebat.

    Kehebatannya bukan sahaja dari sudut kandungannya yang merentas zaman, bahkan bahasanya pun sudah cukup mengagumkan dan tidak mampu ditandingi oleh pakar-pakar bahasa. Maka, amat mustahil ada manusia yang mampu menghasilkan kitab seperti ini.

    Ini diakui oleh Walid bin Mughirah, seorang pembesar Mekah yang paling kuat menentang dakwah Baginda Salallahu Alaihi Wasallam. Beliau pernah berkata:

    “Tiada dalam kalangan kamu orang yang paling menguasai syair-syair Arab dan qasidah, bahkan syair-syair jin sekali pun selain aku.

    “Demi Tuhan, tiada satupun menyerupai apa yang dibaca oleh Muhammad. Apa yang dibaca olehnya penuh dan ketinggian. Dan sesungguhnya ia begitu tinggi dan tiada yang tinggi (ke atasnya) serta ia mengalahkan segala yang berada di bawahnya.”

    Dalam masa yang sama, disebabkan Al-Quran ini mukjizat, maka bahasa Arab pun turut terkena tempiasnya. Selain mempunyai kosa kata yang begitu banyak dan disertakan dengan peranan baris yang boleh mengubah maksud, bahasa ini tetap kekal terpelihara.

    Dari sudut yang lain, ajaibnya bahasa Arab kerana ia mampu dibaca oleh manusia (untuk membaca Al-Quran dan beribadah) walaupun mereka tidak memahaminya. Tiada bahasa yang mampu disebut perkataan-perkataannya dengan betul oleh mereka yang tidak mengetahui dan mempelajari bahasa tersebut.

    Sukar namun dipermudahkan

    Satu perkara yang menarik mengapa dikatakan Al-Quran ini mukjizat adalah kerana kitab ini menjadikan bahasa Arab yang tinggi itu menjadi mudah. Bak kata pepatah Inggeris: ‘Genius is the ability to reduce the complicated to the simple’.

    Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Qamar, ayat 17 yang berbunyi:

    “Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka ada sesiapa yang ingin mengambil peringatan?”

    Mudah untuk difahami oleh manusia dan mudah untuk dihafal. Lihatlah betapa ramai hafiz-hafiz Al-Quran yang wujud atas muka bumi ini? Begitu juga berapa mudahnya perkataannya diungkapkan dan dijadikan zikir?

    Hakikatnya banyak syair-syair klasik Arab jika diterjemahkan sekali pun masih gagal difahami. Jika untuk difahami pun sukar, apatah lagi untuk menghafal dan mengambil nilai pengajaran daripadanya.

    Menukarkan sesuatu yang paling rumit itu menjadi paling mudah untuk difahami, dihafal dan dipelajari. Bukankah itu satu keajaiban?

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda