Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Al-Quran memiliki keistimewaan yang sangat besar sehingga menjadi syafaat malah menyediakan pahala yang berlipat ganda kepada pembacanya.
Sehubungan itu, ahli Jemaah Tadarus Al-Quran Subuh Masjid Kampung Salambigar telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di masjid berkenaan, hari ini, sebagai menzahirkan kesyukuran selepas tamatnya bacaan 30 juzuk Al-Quran.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang disusuli dengan bacaan surah-surah lazim yang bermula dari Surah Ad-Dhuha sehingga Surah An-Nas, yang dikepalai oleh Awang Mohd Yahya bin Haji Osman.
Beliau yang juga pembimbing ahli jemaah tadarus Al-Quran Subuh di masjid berkenaan membaca takhtim dan Doa Khatam sebelum mengepalai bacaan tahlil.
Majlis sedemikian bertujuan untuk mengimarahkan masjid berkenaan, di samping dalam sama-sama menyemai kecintaan dalam amalan membaca kalam Allah dalam kehidupan sehari-hari.
