Al-Quran panduan hidup

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Rakyat dan penduduk di negara ini seharusnya bersyukur dengan nikmat kehidupan dalam suasana aman dan damai bagi membolehkan mereka mengerjakan amal ibadat dengan sempurna malah berupaya mengadakan majlis-majlis agama.

Ketenangan inilah juga yang akan menyumbang kepada kesinambungan pembangunan dan perkembangan agenda negara selaras dengan Wawasan 2035.

“Dengan memartabatkan Al-Quran dan menjadikannya sebagai panduan dalam kehidupan kita, Insya-Allah, kita akan dapat melahirkan individu Muslim sejati, keluarga, masyarakat dan negara yang taat serta patuh kepada Allah.”

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri bersabda sedemikian di Majlis Pembukaan Rasmi Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1439H/2018M di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, malam hari ini.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berserta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ketika berkenan mengurniakan sabda, kelmarin.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1439H/2018M serta ahli-ahli jawatankuasa yang lain.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya bersaba melahirkan rasa gembira mendapat tahu Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Institut Tahfiz AI-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah mula mengusahakan pengajaran membaca Al-Quran secara berlagu atau taranum.

Seiring dengan itu, tambah Duli Yang Teramat Mulia, kemahiran dan keahlian dalam taranum itu akan Iebih lengkap dan berkesan malah memberi kelebihan yang mantap jika qari dan qariah itu memahami bahasa AI-Quran itu iaitu Bahasa Arab.

“Perlu dan mustahaknya mempelajari dan mengetahui bahasa AI-Quran itu sendiri iaitu Bahasa Arab adalah bertujuan antaranya, pertama supaya lebih terasa nikmat dan berhikmatnya bahasa Al-Quran itu; kedua supaya Iebih meresap dan mendalamnya Iagi pemahaman kepada maksud dan erti dari kalimat-kalimat AI-Quran itu; ketiga supaya Iebih tepat dan sesuai bila perlu wakaf dan bila pula bisai ibti’da’ nya. Maka dengan demikian lengkaplah erti ayat dan maknanya tidak terputus,” Duli Yang Teramat Mulia menekankan.

Menyentuh mengenai pemahaman AI-Quran, Duli Yang Teramat Mulia pernah menyebutnya dalam musabaqah yang lalu yang mana tafsiran AI-Quran itu terdapat di dalam pelbagai bahasa dan mudah diperolehi serta dapat diakses dalam pelbagai bentuk cetak dan digital.

“Pada hemah saya, tiada alasan Iagi untuk kita tidak dapat menimba sebanyak yang mungkin akan isi dan hikmahnya secara mendalam agar kita dapat meraih manfaat daripada kitab yang teragung ini,” tekan Duli Yang Teramat Mulia.

“Dalam masa yang sama kita hendaklah berhati-hati dalam memilih terjemahan dan tafsir dengan merujuk sumber yang betul berasaskan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Negara bukan saja telah menerbitkan mushaf Brunei Darussalam malah juga dengan terjemahannya bagi menampung keperluan umat Islam di negara ini khususnya pada memastikan pemahaman kandungannya dan Insya-Allah, Mushaf Brunei Darussalam dan tafsirannya pula akan kita punyai di mana kerja-kerja penyediaan dan penyusunannya sedang dilaksanakan,” tambah Duli Yang Teramat Mulia dalam sabdanya.

Di samping mengamalkan bacaan AI-Quran sebelum memulakan tugas, Duli Yang Teramat Mulia gembira mengetahui adanya beberapa agensi kerajaan yang juga membaca terjemahan bacaan Al-Quran ini.

“Amalan seperti ini adalah amat dituntut. Mudah-mudahan amalan seperti ini akan terus berkembang meluas di Negara Zikir ini.

Program Satu Minggu Satu Juzuk, Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR) yang dikelolakan oleh Jabatan Pengajian Islam, KHEU dan juga Al-Huffaz Management giat menjalankan usaha dan amal bakti mereka sehingga menjadikan pelajaran dan pembelajaran Al-Quran itu dapat diakses dengan mudah dan meluas.

“Inilah yang kita kehendaki malah lebih terasa mustahak dan perlu diakses dan dihayati oleh segenap Iapisan masyarakat Islam,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

Sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin.
Salah seorang qari ketika memperdengarkan bacaan pada Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan kelmarin.
Johan Seleksi Tilawatil Quran Nasional di Tarakan Kalimantan Utara Anak-anak, Muhammad Zahron Nasywa sedang memperdengarkan bacaan.
Salah seorang qariah ketika memperdengarkan bacaan.

Menyentuh mengenai peranan institusi masjid, Duli Yang Teramat Mulia bersabda, melalui perancangan dan pengurusan yang berkesan, masjid dapat melahirkan insan-insan yang beriman, bertakwa dan berlimu pengetahuan berlandaskan AI-Quran dan As-Sunnah menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Oleh yang demikian, Duli Yang Teramat Mulia berpendapat bahawa penglibatan orang ramai dan penduduk kampung dalam mengimarahkan masjid adalah sangat penting iaitu dengan sembahyang secara berjemaah, mengikuti pelbagai program termasuk mendalami AI-Quran atau aktiviti keagamaan yang banyak mendatangkan manfaat, dan meningkatkan kesedaran orang ramai melalui masjid mengenai amalan berwakaf yang juga sangat dituntut dalam Islam bagi sama-sama menanam saham di akhirat kelak.

“Kesemua ini sangat bermanfaat ke arah melahirkan pembangunan dan kesejahteraan ummah serta masyarakat yang berilmu pengetahuan,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

Acara kemudian diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin yang antara lain menyembahkan bahawa musabaqah tersebut diadakan selama tiga malam berturut-turut, bermula malam ini dan disertai enam qari dan enam qariah.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan musabaqah kali ke-58 ini, beberapa syarat penyertaan telah dikemas kini, yang terpenting adalah peserta hendaklah berumur tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak lebih 40 tahun.

Seramai 61 orang peserta telah layak di bawah syarat baru itu dan mereka telah memasuki peringkat daerah bagi masjid seluruh negara, yang mana 38 orang daripadanya telah layak memasuki peringkat suku akhir dengan 28 orang peserta menunggu.

“Ini menjadikan jumlah peserta di peringkat suku akhir seramai 66 orang, manakala di peringkat separuh akhir seramai 37 orang peserta bertanding,” tambah beliau.

“Maka pada peringkat akhir hanya enam qari dan enam qariah yang terpilih dan akan memperdengarkan bacaan pada dua malam ini,” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

Enam qari berkenaan ialah Awang Mohd Zul-Hafiz bin Awang Tengah, Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili, Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim, Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya, Awang Mohammad bin Ali dan Awang Muhammad Fikri bin Haji Metussin. Manakala itu, enam qariah pula terdiri daripada Dayang Norfaezah binti Haji Emran, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki, Dayang Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri, Dayang Siti Zahrina binti Abdul Wahab, Dayang Siti Nurnabilah binti Mejar (B) Haji Abdul Rahman dan Hajah Nurhapidzah binti Haji Hassan.

Seterusnya, musabaqah dimulakan dengan dua orang peserta (seorang qari dan seorang qariah) memperdengarkan bacaan masing-masing diikuti dengan persembahan bacaan Al-Quran oleh Qari Remaja Luar Negara, Muhammad Zahron Nasywa, johan STQ (Seleksi Tilawatil Quran) Nasional di Tarakan Kalimantan Utara Anak-Anak.

Pertandingan disambung semula dengan dua orang lagi peserta (seorang qari dan seorang qariah) memperdengarkan bacaan mereka.

Pertandingan disambung pada malam esok dengan memperdengarkan lagi lapan orang peserta (empat qari dan empat qariah) sementara itu pengumuman keputusan bagi menentukan johan qari dan qariah akan diadakan pada 1 Mac.