Al-Quran penawar penyakit

Oleh Salawati Haji Yahya & Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Penduduk dan rakyat di negara ini diseru untuk sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan dan sentiasa membacanya kerana keberkatan boleh diraih dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran bagi tujuan berlindung dan berubat daripada pelbagai penyakit dan musibah.

Di Negara Brunei Darussalam, kita sedang mengamalkan dan mengikuti panduan Al-Quran sebagai ‘perisai bersepadu’ dalam menolak wabak koronavirus selain mengamalkan SOP biasa yang telah ditetapkan.

“Kesan daripada penggunaan perisai bersepadu itu, Negara Brunei Darussalam telah dilihat sedang dibentengi oleh keberkatan yang menakjubkan seterusnya terselamat daripada serangan wabak.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah sedemikian pada Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi tahun 2021 kali ke-63 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini. Baginda dalam titahnya seterusnya mengingatkan bahawa ia adalah situasi yang luar biasa dan jangan menganggapnya sebagai ringan sahaja.

“Beta secara peribadi, amatlah meyakini perkara ini di mana apa juga jenis virus yang membentuk wabak, tidak akan mampu untuk melangkahi ayat-ayat suci Al-Quran,” tambah Baginda.

ATAS & BAWAH: KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan hadiah kepada juara qari, Awang Mohammad Zul-Hafiz dan qariah Hajah Nurfaezah pada Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi tahun 2021 kali ke-63 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

Sebagai orang Islam, titah Baginda, penduduk di negara ini digesa untuk sentiasa mendampingi dan tidak berenggang daripada Al-Quran dengan membacanya, menghafaz dan memahami isi kandungannya dan berharap budaya pembacaan Al-Quran dijadikan budaya sepanjang zaman.

“Ertinya semua generasi kita, sama ada yang sedia ada mahupun yang akan lahir kemudian adalah generasi yang membaca Al-Quran belaka,” titah Baginda lagi.

Baginda menegaskan betapa bertuahnya negara jika harapan ini tercapai, kerana Al-Quran jika terus dibaca oleh rakyat dan penduduk, tidak diragukan lagi negara akan mendapat berkat dan berhias dengan cahaya.

Menurut Baginda, cahaya Al-Quran bukan seperti cahaya lampu atau pelita tetapi cahaya Al-Quran mampu untuk menerangi hati sanubari dan menerangi kehidupan malah menerangi alam kubur menurut agama.

“Siapakah yang tidak mahu untuk mendapat cahaya seperti ini. Pada hemat Beta, semua kita mahu,” titah Baginda.

Dalam mengakhiri titah, Baginda merakamkan ucapan tahniah kepada peserta-peserta di semua peringkat pertandingan, khasnya kepada peserta yang berjaya ke peringkat akhir kebangsaan tahun ini dan berharap mereka akan terus berusaha untuk mencapai mutu bacaan yang lebih baik.