Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Alah bisa tegal biasa ‘labah-labah’ wanita

    KUALA LUMPUR – Bukan semua orang lebih-lebih lagi kaum hawa mampu melakukan pekerjaan ini tetapi itulah yang dilakukan oleh Nor Jumaniyah Samsudin, 32, dan Nor Amyzalina Nor Azmi, 25, sejak lebih dua tahun lalu.

    Bagi dua orang wanita ini, ‘alah bisa tegal biasa’, mencari rezeki sebagai operator gondola juga dikenali sebagai ‘labah-labah’ ini.

    ‘Bergayut’ pada bangunan yang ketinggiannya 445.5 meter untuk tempoh yang lama, pastinya bukan satu tugas yang mudah dan boleh dilakukan semua orang.

    Bayangkan keadaan mereka bekerja di dalam gondola, diselubungi cuaca panas untuk mencuci cermin bangunan pencakar langit, The Exchange 106, bangunan kedua tertinggi di Malaysia, yang terletak di kawasan yang sentiasa sibuk jalan rayanya, dengan kenderaan bertali arus.

    (The Exchange 106 juga dikenali sebagai TRX Tower, 106 Tower, TRX 106 dan Signature Tower terletak di alamat Lingkaran TRX, Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur).

    Nor Amyzalina dan Nor Jumaniyah yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu pengemas bilik di bangunan itu, nekad menceburi bidang tersebut disebabkan minat dan ingin mencuba sesuatu yang baharu. – Bernama
    Perasaan gayat berada di tempat tinggi sudah tidak ada lagi dalam dirinya. – Bernama
    Nor Jumaniyah Samsudin dan Nor Amyzalina Nor Azmi semasa mencuci cermin bangunan pencakar langit. – Bernama

    Biarpun tidak menafikan perasaan takut pernah membelenggu perasaan pada peringkat awal mula bekerja, terutamanya apabila memandang ke bawah daripada puncak bangunan tinggi, namun mereka akhirnya berjaya mengatasi semunya itu, berkat sokongan tidak berbelah bahagi keluarga dan rakan sepasukan.

    Perasaan gayat berada di tempat tinggi sudah tidak ada lagi dalam diri mereka.

    Pencapaian ini sudah tentu membuktikan kaum wanita juga mampu menjalankan pekerjaan lasak termasuk operator gondola sebagai karier sepenuh masa apatah lagi sektor tersebut mendapat permintaan tinggi berikutan gaji yang ditawarkan adalah lumayan.

    “Saya memang sukakan cabaran dan walaupun kerja sebegini didominasi lelaki, namun saya cabar diri untuk melakukannya. Tambahan pula keluarga turut menyokong dan mendoakan yang terbaik buat saya,” kata Nor Amyzalina yang mesra dipanggil Amy dan berasal dari Melaka kepada Bernama.

    Minat dan ingin cuba

    Menceritakan pembabitan awal dalam sektor ekstrem berkenaan, Nor Amyzalina dan Nor Jumaniyah yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu pengemas bilik di bangunan ikonik berkenaan, nekad menceburi bidang itu disebabkan minat dan kerana ingin mencuba sesuatu yang baharu.

    Biarpun konsep tugas mereka adalah sama dengan sebelum ini iaitu melakukan ‘pembersihan’ namun skop kerjaya ‘labah-sudah tentunya sangat mencabar dan berbahaya apatah lagi sekiranya seseorang itu tidak dilengkapi kemahiran dan latihan terkini serta tidak peka dengan keadaan sekeliling.

    Sedikit kelekaan dan kecuaian boleh membawa padah serta mendedahkan mereka kepada kemalangan dan untuk itu, mereka berdua sentiasa memastikan tidak menggunakan telefon pintar atau apa-apa sahaja peranti yang boleh mengakibatkan mereka hilang fokus semasa bekerja.

    Mereka juga mengelak bersembang sesama rakan pasukan kecuali perihal kerja kerana ia juga merupakan antara ‘pantang-larang’ wajib dipatuhi berikutan risiko kemalangan.

    “Kerana minat, kami mohon tukarkan unit dan berjaya. Memang pekerjaan sebegini perlu sentiasa tingkatkan kemahiran dan kami pernah menjalani latihan selama tiga bulan bersama rakan lelaki berkaitan dengan kepelbagaian teknik membersihkan tingkap dan kawalan operasi di seluruh bangunan.

    “Selain turut diajar membersihkan cermin luar bangunan dan cermin dalam bangunan, kami juga turut dilatih menjadi operator dan mengawal ‘walkie-talkie’ serta menjalani latihan kecemasan bagi mengelak daripada berlakunya kejadian tidak diingini,” kata Nor Amyzalina yang masih bujang.

    Menjelaskan lebih lanjut risiko kemalangan yang mungkin berlaku, Nor Jumaniyah berkata cabaran paling getir pekerjaan ‘labah-labah’ ini adalah apabila berhadapan dengan angin kencang.

    Mereka berdua pernah mengalami detik cemas apabila kren gondola mereka terhayun dengan kuat beberapa kali disebabkan angin kuat dan ribut ketika melakukan kerja penyelenggaraan pembersihan sehingga menyebabkan gondola tersebut hilang keseimbangan.

    Kepuasan luar biasa

    Biarpun detik cemas yang dilalui itu membangkitkan kebimbangan akan keselamatan mereka, namun pekerjaan tetap diteruskan dan wanita berdua ini mengakui latihan berhadapan situasi kecemasan banyak membantu pekerja ekstrem ini untuk sentiasa kekal tenang dan tidak hilang fokus.

    “Kalau angin kencang secara tiba-tiba, rasa gayat memang ada malah, kadang-kadang rasa tidak mahu turun kerana bimbang gondola akan hilang keseimbangan. Biasanya, apa yang kami lakukan adalah kekal berada di tempat sama dan memastikan pin tali keselamatan pada badan kami diketatkan supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini,” kata Nor Amyzalina.

    Mengakui bukan mudah kerana pekerjaan itu terdedah kepada pelbagai risiko kemalangan, mereka yang ingin menceburi bidang kerja 3D – Dirty, Difficult and Dangerous – (Kotor, Sukar dan Bahaya) dan ekstrem seperti ini memerlukan komitmen, kesungguhan, ke-sabaran dan minat yang tinggi.

    Mengenai rutin pekerjaan, mereka akan memulakan tugas seawal pukul 7 pagi dengan menyiapkan kelengkapan dan peralatan diri seperti penutup muka, topi keledar, memakai abah-abah keselamatan selain memastikan kren gondola berada dalam keadaan baik dan dapat berfungsi.

    Pemeriksaan dan penyediaan keselamatan diri ini yang merupakan langkah awal mengikut pematuhan prosedur operasi standard yang ditetapkan amat penting kerana ia dapat membantu mereka mengenal pasti kelemahan dan dapat mencegah daripada berlakunya kejadian tidak diingini.

    “Selain itu, kami juga akan menggunakan anemometer untuk memeriksa kelajuan angin dan sekiranya ia berada pada tahap selamat, baharulah kami akan menjalankan tugas yang bermula dari tingkat 102 sehingga ke bawah.

    “Bagaimanapun sekiranya kelajuan angin yang diukur itu melebihi 10 knot, kami tidak digalakkan untuk menaiki gondola dan melakukan kerja pembersihan cermin bangunan ikonik pencakar langit itu,” kata Nor Jumaniyah yang berasal dari Kuala Lumpur.

    Biarpun bahaya, namun bekerja sebagai ‘labah-labah’ untuk membersihkan bangunan pencakar langit sememangnya memberikan kepuasan luar biasa apatah lagi apabila dapat melihat seluruh ibu negara apabila berada di puncak bangunan tinggi.

    Perkasa wanita

    Meskipun di Malaysia ketika ini masih belum ramai wanita ‘labah-labah’ ini, namun peluang adalah terbuka untuk mereka yang berminat untuk menceburi bidang kerjaya lasak yang lazimnya didominasi kaum lelaki ini, sebagai karier sepenuh masa, Ini berdasarkan pengalaman Nor Amyzalina dan Nor Jumaniyah yang dengan sendirinya menangkis tanggapan bahawa hanya lelaki yang mampu melakukan kerja sedemikian rupa.

    “Percayalah, wanita juga boleh menjalankan tugasan lasak dengan sempurna dalam pekerjaan yang biasa dilakukan lelaki dan jangan takut apabila membuat sesuatu, kena yakin diri dan berani melakukan kerja-kerja seperti ini.

    “Kita sebenarnya bukan lemah tetapi disebabkan takut, kita tidak mahu mencuba sedangkan pekerjaan ini menjanjikan pendapatan lumayan dan mereka yang sedang mencari pekerjaan sepatutnya boleh mencuba bidang ini,” kata Nor Jumaniyah. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...