Alam tidak dibenarkan ikat jamin

DHAKA, 11 Sept – Mahkamah Bangladesh telah menolak ikat jamin bagi pemenang anugerah jurugambar dan aktivis hak asasi, Shahidul Alam, yang penahanannya telah mencetuskan bantahan antarabangsa, kata peguamnya hari ini.

Alam telah ditangkap pada 5 Ogos kerana membuat kenyataan ‘palsu’ dan ‘provokatif’ dalam saluran penyiar Al Jazeera dan Facebook Live semasa protes besar-besaran pelajar di ibu negara, Dhaka.

Kumpulan hak asasi, pakar hak asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), pemenang-pemenang hadiah Nobel dan beratus-ratus ahli akademik telah menyeru supaya Alam, 63, dibebaskan segera.

Sementara itu, Alam juga berkata dia telah dipukul semasa dalam tahanan.

Selepas mahkamah tinggi negara minggu lalu enggan mempertimbangkan permintaan ikat jamin Alam, peguamnya pindah ke sidang kehakiman Metropolitan Dhaka pada hari ini, membuat petisyen lain untuk pembebasan klien mereka dengan ikat jaminan.

“Tetapi mahkamah menolak permohonan ikat jamin itu,” kata peguam Alam, Sara Hossain kepada AFP, sambil menambah bahawa mahkamah tidak menerangkan alasan penolakan itu.

Pendakwa Abdullah Abu memberitahu AFP bahawa mereka menentang ikat jamin ke atas Alam selepas dia menghasut orang semasa protes bulan lalu dengan membuat komen penghasutan terhadap kerajaan dan negeri.

“Dia mengatakan kerajaan sekarang mesti digulingkan,” kata Abu, memetik dari tuduhan awal polis yang difailkan terhadap Alam.

Penahanan Alam berlaku ketika para pelajar di Bangladesh mengadakan tunjuk perasaan selama sembilan hari berturut-turut selepas dua remaja terbunuh dilanggar bas laju.

Dia sedang disiasat kerana didakwa melanggar undang-undang Internet Bangladesh, yang digubal pada tahun 2006 dan diangkat pada tahun 2013, yang dikatakan pengkritik sebagai usaha kerajaan untuk menangkis perbezaan pendapat rakyat dan mengganggu wartawan. – AFP