Alaphilippe ceriakan Perancis

EPERNAY, 9 JULAI – Julian Alaphilippe menghasilkan satu prestasi hebat pada peringkat ketiga bagi memberikan kemenangan pertama buat Perancis dan merampas pendahuluan keseluruhan Tour de France 2019.

Kemenangan itu bermakna penunggang Perancis itu menyarung jersi pendahulu berwarna kuning buat pertama kali dalam tempoh lima tahun.

Penunggang dari pasukan Deceuninck-Quick Step itu membuat pertaruhan besar dengan percubaan jarak jauhnya.

Dia melepaskan diri dari peloton selepas merebut beberapa saat pada pendakian kedua terakhir.

Ketika dia melintasi Marne, dia mempunyai pendahuluan hampir seminit.

Alaphilippe cukup kuat untuk bertahan dan menang dengan kelebihan 26 saat.

“Saya benar-benar bersedia hari ini, jadi apabila saya melihat adanya peluang, saya terus merebutnya,” kata Alaphilippe selepas kemenangan peringkat ketiga dan jersi kuning pertamanya.

“Saya seharusnya menunggu sehingga akhir, namun saya terus memberikan segala-galanya apabila terlihat adanya ruang.” – AFP

Julian Alaphilippe meraikan kemenangannya selepas melintasi garisan penamat peringkat ketiga Tour de France. – AP