Alas gelas rekaan sendiri lebih menarik

Oleh Amri HTZ

Coaster atau alas gelas bukanlah sesuatu yang baharu di era moden ini untuk digunakan.

Ia merupakan alat untuk meletakkan gelas di atasnya bertujuan untuk menghalang lelehan atau peluh minuman dari gelas terkena permukaan meja, ia juga digunakan sebagai penghias ketika menghidangkan sesuatu kepada tetamu. Jika pada kebiasaannya direka menggunakan kertas khusus, MDF, rotan dan sebagainya, kini alas gelas lebih popular direka menggunakan resin epoksi memandangkan ia mudah tetapi lebih menarik.

Barangan

Bagi mereka alas gelas untuk meletakkan minuman ini, beberapa barangan perlu disediakan terlebih dahulu seperti mesin jig, kertas pasir atau mesin orbital, blow torch, acuan kek silikon, material resin epoksi, pengepit kayu, pita pelekat, papan 1” x 4”, cawan plastik, pigmen epoksi warna metalik, alkohol gosok, wood finish dan pensel serta stensil berbentuk bulat.

Langkah

Menerusi langkah pertama pembuatan, papan yang telah disediakan tadi akan diratakan permukaannya menggunakan kertas pasir atau ketam kayu. Gunakan kertas pasir dengan kasar 800 atau 1,000 grit untuk meratakan permukaannya. Setelah itu tandakan bahagian tengah (permukaan 4”) papan tersebut menggunakan pensel di kedua-dua bahagian hujung dan sambungkan kedua-dua garis menjadi satu garis panjang.

Garisan yang telah ditandakan tadi akan dipotong menggunakan mesin jig. Teknik potongan di sini agak berlainan bagi memberikan hasil potongan yang berombak dan mencondong bagi meniru keadaan kayu yang terbelah seperti semula jadi. Tetapkan mesin jig pada kedudukan 30 darjah dan potong dengan berhati-hati dan perlahan bagi memastikan mata mesin tidak patah.

Papan yang telah dipotong menggunakan mesin jig yang kemudiannya dilakar bentuk bulatan. – Agensi
Bentuk bulatan pada permukaan kayu yang telah dipotong dan ditempatkan ke dalam acuan silikon. – Agensi
Epoksi yang telah dituangkan, yang menghasilkan buih pada permukaannya boleh dihilangkan menggunakan blow torch. – Agensi

Walaupun terdapatnya garisan yang telah ditandakan sebelumnya, ini bukanlah bermakna awda harus memotong lurus mengikut garisan tersebut. Garisan yang direka cuma sebagai panduan sejauh manakah awda boleh memotongnya dengan bentuk berombak daripada bahagian tengah kayu. Memotongnya terlalu jauh daripada bahagian tengah akan meninggalkan bahagian kayu yang terlalu sedikit apabila ia

dicantumkan menjadi satu nanti, namun ia bukanlah satu kemestian.

Setelah memotongkannya, kedua-dua bahagian (kayu yang telah dibelah) akan dibersihkan permukaan potongan juga menggunakan kertas pasir. Ini bagi memastikan hasil potongan menggunakan mesin jig tidak terlalu kelihatan terutamanya bagi awda yang menggunakan resin epoksi lut sinar.

Kedudukan papan tadi akan diterbalikkan salah satunya bagi membentuk bahagian dalaman yang seimbang (bahagian sudut melebar di atas dan yang mengecil di bawah). Ini bagi meniru keadaan tebing sungai semula jadi memandangkan projek ini juga seakan-akan meniru air sungai yang mengalir.

Setelah itu kekalkan kedudukan kedua-dua potongan papan sementara menggunakan pita perekat bertujuan untuk memudahkan awda melakar bentuk bulatan pada permukaannya. Gunakan stensil atau kompas untuk mereka bentuk tersebut dan pastikan diameternya bertepatan dengan acuan kek silikon yang digunakan. Lakaran yang telah direka akan dipotong juga menggunakan mesin jig.

Kayu yang telah dipotong dengan bentuk yang diperlukan akan diratakan permukaan luarnya menggunakan mesin orbital atau mesin kertas pasir khusus. Keadaan permukaan yang rata akan menentukan nilai alas gelas yang telah direka sama seperti rekaan para profesional.

Potongan yang telah diratakan permukaannya akan dimasukkan ke dalam acuan kek silikon yang telah disediakan. Langkah ini memerlukan awda untuk membersihkan terlebih dahulu acuan yang digunakan bagi memastikan ia tidak berada dalam resin epoksi yang dimasukkan dan mengeras nanti.

Untuk resin yang telah disediakan akan dicampurkan di dalam cawan plastik dan perlu dikacau menggunakan kayu. Mula-mula campurkan resin lut sinar dan kacau sehingga warna resin berubah menjadi kabut diikuti dengan menaburkan pigmen metalik yang telah dipilih.

Dalam menyokong tema projek ini iaitu Aliran Air Semula Jadi, penggunaan pigmen kebiruan telah dipilih bagi memadankan tema.

Setelah mencampurkan pigmen dan mengacaunya, tuangkan resin tersebut ke dalam acuan pada satu arah. Ini bermaksud resin yang dituangkan perlulah dituangkan di tempat yang sama (salah satu bahagian hujung) sehingga acuan penuh.

Dengan cara ini, pigmen metalik yang dicampurkan akan mengalir cuma ke satu arah (meniru aliran air) sekali gus membentuk aliran ‘air’ secara semula jadi.

Biarkan resin epoksi mengeras lebih kurang 24 jam sebelum menggosokkan permukaan luarannya menggunakan kertas pasir. Untuk mendapatkan permukaan alas gelas yang betul-betul lut sinar dan licin, gunakan kertas pasir berukuran 800 grit sebagai permulaan diikuti dengan 1,000, 1,500, 2,000 dan akhiri dengan 3,000 grit tanpa melangkau urutannya.

Ini bagi memastikan hasil akhir yang diperlukan dicapai tanpa perlu melakukan langkah yang sama berulang kali disebabkan kegagalan untuk mendapatkan permukaan yang jernih.

Ketika menikmati minuman bersama tetamu di ruangan santai, setentunya akan menarik perhatian penggunanya dan mereka tentu tertanya-tanya di manakah awda mendapatkannya. Sesuai dengan waktunya ketika bersantai, ketika itu, perkongsian pengalaman merekanya setentunya men-jadikan waktu bersantai lebih bermakna.