Alas gelas unik dan mudah

Oleh Amri HTZ

Memuliakan tetamu yang datang berkunjung sangat dituntut dalam agama Islam.

Selain menghidangkan mereka dengan makanan dan minuman, kita juga perlu menyambut mereka dengan sebaik-baiknya. Bekas untuk menyediakan makanan dan minuman juga perlu dititikberatkan dalam hal ini ketika hendak menghidangkannya kepada tetamu.

Selain kebersihan tempat menyediakan makanan dan minuman, perhiasan sampingan juga memainkan peranan penting agar para tetamu merasa diri mereka dialu-alukan untuk berkunjung.

Barangan yang diperlukan

Alas gelas untuk menghiasi meja merupakan salah satu penyeri minuman. Alas gelas menggunakan batu semula jadi tampak lebih elegan dan membuatnya pula mudah. Antara beberapa barangan yang diperlukan ialah batu semula jadi, gam silikon (clear), papan MDF, pemotong kayu, pembaris, pen atau pensel penanda, mesin router, dan cat sembur (clear).

Langkah pembuatan

Pada langkah pertama, papan MDF yang telah disediakan perlu dipotong menjadi ukuran yang diperlukan. Gunakan mesin pemotong kayu untuk mendapatkan permukaan potongan yang rata dan tepat. Sebelum memulakan proses potongan, lakarkan bentuk dan ukuran yang diperlukan sesuai dengan keinginan.

Selain alas untuk cawan, anda jua boleh mereka alas untuk menyimpan minuman.
Batu semula jadi yang boleh didapatkan di kedai-kedai hobi dan papan MDF
Bilah router jenis roundover diperlukan untuk membentuk sudut MDF.
Gam silikon diperlukan untuk melekatkan batu-batu ke permukaan papan MDF.
Sesuaikan ukuran batu untuk diisikan ke dalam ruang-ruang yang kosong selelah melekatkan batu.

Bagi alas gelas dalam projek ini, bentuk empat segi akan direka memandangkan ia begitu mudah untuk dilakukan selain mengikut kesesuaian meja yang akan digunakan. Dengan melakar bentuk empat segi berukuran 4×4 inci, potongkan dengan perlahan papan tersebut. Ini adalah bagi memastikan permukaan potongan yang rata selain mengurangkan risiko papan tersebut terkoyak. Ini kerana material papan MDF terbuat daripada campuran cebisan kayu keras dan lembut yang dicampurkan menjadi satu menggunakan resin. Penggunaan gergaji kayu secara manual (tangan) adalah tidak digalakkan dalam langkah ini memandangkan ia kurang sesuai.

Setelah memotongkan kayu tersebut, anda mempunyai pilihan untuk membentuk sudut hujung papan MDF untuk memberikan hasil akhir yang lebih baik dan nampak profesional. Menggunakan mesin router dengan mata mesin yang berbentuk roundover, ini akan membentuk sudut hujung yang berbentuk membulat.

Sebelum beralih ke proses melekatkan batu-batu pada permukaan MDF, batu yang telah didapatkan perlulah dibersihkan terlebih dahulu. Batu-batu semula jadi seperti ini mudah untuk didapatkan terjual di kedai-kedai hobi dan pada kebiasaannya, permukaan batu tersebut kurang bersih atau diliputi lilin. Permukaan kotor batu atau diliputi lilin dikhuatiri memberikan kesan kepada silikon yang digunakan di mana berkemungkinan tidak mampu bertahan lama ketika dilekatkan pada permukaan MDF.

Bagi anda yang ingin mendapatkan batu semula jadi tanpa perlu membelinya, anda hanya perlu pergi ke kawasan pantai ataupun pergi ke sungai untuk mendapatkannya. Selain boleh menjimatkan perbelanjaan dalam projek ini, anda juga berkesempatan untuk memilih bentuk, warna dan ukuran yang diinginkan. Kedua-dua sumber ini mempunyai perbezaannya tersendiri di mana batu yang diperoleh dari kawasan pantai memiliki warna sedikit gelap dan kasar sementara batu dari sungai mempunyai warna yang terang dan pelbagai selain permukaan luaran yang lebih licin.

Setelah membersihkan permukaan batu, sapukan sedikit permukaan bawah batu menggunakan gam silikon. Dalam langkah ini memerlukan anda menyusun satu persatu batu tersebut pada permukaan MDF. Jika anda menggunakan batu semula jadi yang mempunyai berlainan warna, susun mengikut kreativiti tersendiri bagi memberikan impak yang menarik pada rekaan tersebut.

Bagi bahagian yang nampak kosong, setelah melekatkan batu-batu pada permukaan MDF, isikan ruangan tersebut menggunakan batu-batu yang lebih kecil. Jika anda tidak mempunyai ukuran batu yang sesuai, ini memerlukan anda untuk memecahkan batu-batu tersebut menggunakan tukul dan ratakan permukaan yang tajam menggunakan kertas pasir bercampur air.

Helah lain untuk mengisikan kawasan-kawasan yang mempunyai ruang tersebut adalah dengan mengisikannya menggunakan pasir. Dengan cara berhati-hati mengisikan ruang kosong menggunakan gam silikon, kemudian semburkan pasir ke ruangan tersebut dengan berhati-hati secara nipis. Bersihkan lebihan pasir menggunakan berus.

Biarkan gam silikon mengering lebih kurang 5 jam sebelum meneruskan langkah pembuatan. Bagi anda yang menggunakan pasir untuk mengisikan ruangan kosong tersebut, jika masih terdapat kawasan yang tidak terliputi, anda masih boleh memenuhinya menggunakan teknik yang sama seperti sebelumnya.

Langkah terakhir adalah melindungi rekaan anda menggunakan cat sembur berwarna clear. Ini bagi memastikan papan MDF yang digunakan, memandangkan ia begitu sensitif terhadap air, tidak akan rosak apabila terdedah kepada kelembapan.

Selain melindungi permukaan rekaan, ia juga mampu menimbulkan dan menerangkan corak yang terdapat pada permukaan batu tersebut. In akan membuatkan rekaan anda lebih menyerlah!