Alasan sukar cari kerja punca mencuri

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Seorang lelaki yang baru sahaja dibebaskan Januari lalu, terpaksa kembali meringkuk apabila dijatuhi hukuman tiga tahun empat bulan penjara dan dua kali sebatan oleh Mahkamah Perantaraan, hari ini.

Hukuman terhadap Mohammad Farid Adilah bin Kamal, 26, yang mengaku bersalah atas pertuduhan memecah masuk rumah untuk mencuri, dijatuhkan Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni.

Dalam kejadian 25 Mei 2020 sekitar jam 3 pagi, tertuduh yang sedang berjalan di kawasan Jalan Ban 3 terlihat sebuah rumah yang tidak berpenghuni.

Dia memasuki rumah itu melalui tingkap tandas dan mencuri satu beg sandang yang mengandungi dompet yang di dalamnya berjumlah RM690 dan $400.

Pemilik rumah yang pulang ke rumahnya kira-kira jam 2:30 petang pada hari sama, menyedari rumahnya telah dipecah masuk dan terus memeriksa rakaman CCTV.

Laporan polis kemudian dibuat yang membawa kepada penangkapan tertuduh. Tertuduh mengakui kesalahannya atas alasan sukar menda-patkan pekerjaan.

Dia menggunakan wang yang dicuri untuk berjudi dalam talian dan membeli makanan. Dalam rekod mahkamah, tertuduh mempunyai kesalahan lampau melibatkan curi dan ceroboh.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Awang Ahmad Firdaus bin Haji Mohammad.