Alasan tidak munasabah cabaran Operasi Pulih

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan Kementerian Kesihatan & PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKTOBER – Tujuh pelanggaran arahan telah dikesan di seluruh negara dan dikeluarkan denda kompaun, manakala alasan tidak munasabah diberikan pesalah adalah antara cabaran dihadapi agensi-agensi penguat kuasa semasa pemantauan bagi larangan keluar rumah jam 8 malam sehingga 4 pagi tadi.

Empat daripadanya merupakan kesalahan melanggar arahan teranah di rumah, menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini, dengan gambar empat pesalah turut dipaparkan.

Dalam pada itu, menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), daripada tujuh pelanggaran itu, tiga daripadanya dikesan di Daerah Brunei dan Muara, tiga di Daerah Belait dan satu di Daerah Temburong.

Dua pelanggaran adalah kerana kesalahan tidak memakai pelitup muka dan satu tanpa BruHealth. PPDB dalam kenyataannya menjelaskan bahawa penguatkuasaan terhadap Operasi Pulih masih diteruskan dan ia juga telah melalui detik-detik cabaran, terutama dalam berdepan dengan individu-individu yang ingkar dengan mengungkapkan pelbagai alasan yang tidak munasabah dan tidak berasas terhadap pematuhan SOP Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 yang ditetapkan.

“Dalam perkara ini, PPDB bersama agensi penguat kuasa berkaitan tidak akan berkompromi dan tetap tegas dalam menjalankan tindakan ke atas mereka yang meremehkan perintah arahan yang dikeluarkan pihak kerajaan,” tegas kenyataan dari PPDB.

Menurut PPDB, implikasi terhadap pelanggaran perintah tersebut bukan sahaja membahayakan ahli keluarga malah turut mengheret dan mendedahkan masyarakat kepada rantaian jangkitan COVID-19 yang tiada hentinya.

Anggota penguat kuasa semasa menjalankan sekatan di salah sebuah kawasan di ibu negara semasa Operasi Pulih bermula 8 malam sehingga 4 pagi.