Alat jahitan tertua ditemui di Maghribi

RABAT, 24 SEPT – Ahli arkeologi di Maghribi telah mengenal pasti peralatan menjahit pakaian yang diperbuat daripada tulang yang wujud 120,000 tahun lalu, yang paling tua pernah ditemui, kata salah seorang penyelidik.

“Ia merupakan penemuan besar kerana sementara alat tulang lebih tua telah ditemui di tempat lain, ia adalah kali pertama kami berjaya mengenal pasti alat tulang yang begitu lama digunakan untuk menjahit pakaian,” kata ahli arkeologi Maghribi Abdeljalil El Hajraoui.

Pasukan antarabangsa menemui lebih 60 alat di Gua Contrebandiers, kurang 20 kilometer dari ibu negara Afrika Utara.

Alat berkenaan telah ‘dibentuk untuk melakukan tugas tertentu yang termasuk menghasilkan kulit dan bulu haiwan,’ tulis kumpulan dalam satu kajian yang disiarkan dalam jurnal iScience.

Penemuan mungkin membantu menjawab soalan mengenai asal-usul tingkah laku manusia moden, kata El Hajraoui, penyelidik di Institut Arkeologi Nasional dan Warisan Budaya (INSAP).

“Menjahit ialah tingkah laku yang telah wujud sejak prasejarah,” beritahunya kepada AFP.

“Alat seperti ini ditemui dalam gua yang digunakan selama 30,000 tahun, yang membuktikan kemunculan ‘kenangan kolektif.”

Kumpulan itu juga menemui ruang tinggal yang digali dalam tanah atau dibina dalam gua, serta kulit siput yang digunakan sebagai perhiasan. – AFP

Ahli arkeologi berjalan memasuki Gua Contrebandiers, kurang 20 kilometer dari ibu negara Maghribi Rabat pada 18 September 2021. – AP