Thursday, December 5, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alat kunci rahang cegah obesiti?

    WELLINGTON, 29 JUN – Penyelidik New Zealand mencipta satu alat boleh mengurangkan berat badan menggunakan magnet untuk mengunci rahang pesakit – menyifatkannya sebagai satu peralatan baharu yang mampu mencegah obesiti meskipun pengkritik menyamakannya dengan instrumen penyeksaan Zaman Pertengahan.

    Inovasi ‘pertama dunia’ itu membabitkan doktor gigi memasang magnet dan mengunci bolt ke geraham atas dan bawah, membolehkan rahang hanya terbuka seluas dua milimeter.

    Ketua penyelidik, Paul Brunton dari Sekolah Sains Kesihatan Universiti Otago, mengatakan ia akan membatasi penggunanya kepada pemakanan cair tanpa mengehadkan pernafasan atau pertuturan. “Ia tidak mengganggu, boleh diterbalikkan, ekonomik dan alternatif menarik berbanding prosedur pembedahan,” katanya. “Malah, tiada kesan sampingan penggunaan alat ini,” tambahnya.

    Penyelidik mengatakan mereka membangunkan ‘alat mengurangkan berat badan pertama dunia yang akan membantu memerangi epidemik obesiti global.’

    Dalam kertas kerja disiarkan dalam jurnal, British Dental bulan ini, mereka mengatakan tujuh orang wanita kehilangan berat badan purata 6.36kg dalam percubaan dua minggu menggunakan alat tersebut, yang digelar DentalSlim Diet Control. Ia mendapati pesakit mengalami ketidakselesaan pada awalnya namun mendapati alat itu ‘boleh ditoleransi’ akhirnya, menurut jurnal itu. – AFP

    Gambar serahan Universiti Otago menunjukkan peralatan DentalSlim Diet Control yang mengunci rahang penggunanya bagi mengurangkan obesiti. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda