Alat penyembur minyak pati mungkin cetus pencemaran dalam rumah

PARIS, 28 APRIL – Alat penyembur minyak pati (essential oil) boleh menjadi sumber pencemaran dalam rumah, menurut agensi keselamatan makanan dan persekitaran Perancis hari ini.

Menurut ANSES, gajet popular itu yang sepatutnya menulenkan dan menyegarkan udara, mungkin mempunyai kesan sampingan tidak menyenangkan.

Ia mengatakan 1,400 kes orang ramai yang terjejas dengan produk-produk itu telah dilaporkan ke pusat anti-keracunan di Perancis antara tahun 2011 dan 2019.

Kebanyakan kes berkaitan dengan kemalangan, seperti kanak-kanak terminum minyak.

Bagaimanapun, kesan-kesan yang tidak diingini juga dilaporkan daripada ‘penggunaan normal telah merengsakan mata, kerongkong, dan hidung serta juga memberi kesan kepada pernafasan’.

Iritasi itu juga mungkin berkaitan dengan fenol dan keton dalam minyak-minyak itu, yang ‘tidak sesuai’ untuk digunakan dalam semburan penyegaran dan penyembur udara, menurut ANSES.

Bagaimanapun, menurut laporan kebanyakan simptom ‘tidak serius dan berkurangan ketika pengguna tidak lagi terdedah lama’ kepada kimia tersebut. – AFP